Anak Suka Memanjat? Boleh Ikuti Tips Ini Supaya Anak Mudah Dengar Kata [Video]
Menurut Adnan, anak yang sedang membesar tidak suka mendengar perkataan jangan atau tidak boleh maka ibu bapa boleh menukar kepada ayat yang lebih menarik.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Mendidik anak-anak bukanlah suatu perkara yang mudah, terutama bagi mereka yang berada dalam lingkungan usia dua hingga enam tahun.
Ini kerana pada usia ini mereka sedang berada di dalam fasa yang lasak untuk menerokai dunia, maka pelbagai perkara akan dilakukan oleh si kecil seperti melukis, menyanyi, memanjat dan banyak lagi.
Tidak dinafikan aktiviti seperti ini adalah bagus dalam merangsang perkembangan otak mereka.
Namun, dalam melayan gelagat mereka itu adakalanya kita juga bimbang dengan apa yang dilakukan khususnya jika perkara itu membahayakan keselamatan si kecil.
Kongsi tips untuk kendalikan anak yang suka memanjat
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok yang dimuat naik oleh Adnan Faisal berkongsi tips bagaimana mahu mengendali anak yang suka memanjat.
Dalam video itu, kelihatan anak perempuannya sedang sibuk memanjat pagar rumah mereka dia kemudian memuji anaknya itu kerana telah berjaya sampai dibahagian paling atas.
Tidak lama kemudian dia meminta anaknya itu turun tetapi dengan cara memberi galakan agar aktiviti itu diteruskan dengan rela hati tanpa menganggu emosi mereka.
Si kecil kebiasaannya tak suka pada perkataan ‘jangan’ & ‘tak boleh’
Menurutnya, anak-anak kecil tidak suka mendengar perkataan seperti ‘jangan’ atau ‘tidak boleh’. Maka tukarkan ia kepada ayat yang lebih menarik.
“Sentiasa bagitahu baik-baik kalau apa yang dia buat tu bahaya. Suruh dia berhati-hati.
“Puji dia sikit-sikit, lama kelamaan dia akan faham. Insha-Allah,” katanya.
Jangan paksa anak
Katanya jangan paksa atau anggap mereka untuk memahami sesuatu arahan dengan cepat kerana perkara itu akan membuatkan kita tertekan dan mula rasa seperti mahu marah.
Adnan dalam masa sama turut menyatakan dalam mendidik anak kita perlulah mempunyai ilmu dan dia hanya berkongsi apa yang baik untuk orang ramai.
“Kita kena faham anak-anak dan sentiasa cari cara supaya mereka memahami kita. Tak boleh harap dia faham sendiri.
“Nak didik anak perlu ilmu, nak buat apa-apa pun perlu ilmu. Adnan tak banyak ilmu pun. Cuma kongsi yang Adnan rasa baik untuk dikongsi,” tulisnya di dalam kapsyen.
Ramai yang suka dengan cara diberikan oleh Adnan
Meninjau di ruangan komen, ramai yang suka dengan tips yang diberikan oleh Adnan kerana ia lebih ke arah positif serta dalam masa sama membuatkan anak-anak lebih gembira.
Namun, tidak kurang juga ada yang berkongsi pengalaman mereka berdepan dengan situasi sama ketika kecil.