fbpx
Now Reading
Kes Merusuh & Terbalikkan Myvi Di Johor, 7 Lelaki Termasuk 4 Penghantar Makanan Mengaku Bersalah

Kes Merusuh & Terbalikkan Myvi Di Johor, 7 Lelaki Termasuk 4 Penghantar Makanan Mengaku Bersalah

Perbuatan tersebut dilakukan mereka di sebuah stesen minyak di Taman Kota Masai, Pasir Gudang sekitar jam 9.40 malam.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

7 individu termasuk 4 penghantar makanan hari ini (7 November) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bharu atas pertuduhan melakukan khianat dan menterbalikkan sebuah Perodua Myvi di Taman Kota Masai, pada Khamis, 3 November yang lalu.

Kesemua tertuduh iaitu Muhammad Adam Abd. Rahim, 18, Mohamad Hairul Hasraf Seeni Abdul Cader, 22, Morrisson Malvin Anak Mada, 19, Shaikh Al Amin Idrus, 21, yang merupakan penghantar makanan P-Hailing dan tiga lagi individu Nur Khairul Amal Abdul Harsir, 19, Daniel Haziq Syikhanna, 21 dan Romie Rahimi, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka telah melakukan khianat secara bersama dengan merosakkan cermin dan pintu kereta sebelum menterbalikkan kereta jenis Perodua Myvi milik Tan Jing Hui, 21, hingga menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM15,000, lapor Utusan.

Perbuatan tersebut termasuk menumbuk, menendang, menghentak menggunakan topi keledar dan membaling batu selain menterbalikkan kereta dilakukan kesemua mereka sebuah stesen minyak di Taman Kota Masai, Pasir Gudang sekitar jam 9.40 malam.

Bagi perbuatan itu, mereka kini didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Hidayatul Syuhada kemudiannya menetapkan setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 berserta syarat-syarat tambahan iaitu tidak menganggu saksi dan juga perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehinggalah kes berkenaan selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 18 Disember untuk sebutan semula kes bagi pendengaran fakta dan hukuman.

Video tular hingga mendapat kecaman orang ramai

Terdahulu tular di media sosial aksi ganas sekumpulan lelaki merosakkan sebuah Perodua Myvi sebelum bertindak menterbalikannya sambil disaksikan puluhan individu lain.

Ada yang mendakwa kumpulan individu berkenaan berang selepas Myvi berkenaan melanggar lampu isyarat lalu merempuh seorang penghantar makanan.

Tular rakaman dashcam buktikan sebaliknya

Namun tidak lama kemudiannya tular satu lagi rakaman dashcam dipercayai milik pemandu Myvi berkenaan yang memperlihatkan bahawa lampu masih belum bertukar kuning ketika ia melintasi persimpangan tersebut.

Ini sekaligus membuktikan bahawa dakwaan orang ramai di sana adalah tidak benar sebaliknya penghantar makanan tersebut yang sebenarnya melanggar lampu merah hingga berlakunya kemalangan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.