Luluh Hati! Pemandu Ambulans Sebak, Mangsa Kemalangan Maut Adalah Anak Sendiri
Menurut bapa mangsa, ketika awal kejadian dia mendapat panggilan untuk mengambil mangsa kemalangan di lokasi dan menghantarnya ke Hospital Setiu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang bapa yang juga pemandu ambulans tidak dapat menahan sebak sebaik melihat melihat anaknya terbaring kaku di atas jalan selepas terlibat dalam kemalangan di simpang kilang sawit di Kilometer 38 Kuala Terengganu menuju Kota Bharu, kelmarin (6 November).
Pemandu ambulans, Mohd Taqwa Ismail, 49, yang bertugas di Klinik Kesihatan Sungai Tong, Setiu berkata, dia sama sekali tidak menyangka mangsa kemalangan merupakan anak kandungnya sendiri.
Motosikal ditunggangi anak bertembung dengan lori
Menurut laporan Harian Metro, Muhammad Aiman Mohd Taqwa yang berusia 21 tahun terlibat dalam kemalangan selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori kira-kira jam 4.30 petang.
Ketika awal kejadian, Taqwa mendapat panggilan kecemasan untuk mengambil mangsa kemalangan di lokasi dan kemudian menghantarnya ke Hospital Setiu.
“Namun apabila sampai di situ, saya macam kenal motosikal itu dan apabila tengok nombor plat motosikal baru sedar rupanya anak sendiri menjadi mangsa kemalangan.
“Sejak saya bertugas menjadi pemandu ambulans kira-kira 21 tahun lalu, ini pengalaman pertama terpaksa berdepan situasi membabitkan ahli keluarga sendiri.
“Jujurnya hanya Allah sahaja yang tahu perasaan sedih saya ketika itu walaupun sebelum ini pernah mengambil mangsa kemalangan lagi serius tapi tidak terlalu beremosi seperti ini,” katanya.
Baru bekerja di TTI dan kerap ulang-alik dari tempat kerja ke rumah
Ujar Taqwa, anaknya yang baru sahaja lima bulan bekerja di Taman Tamadun Islam (TTI) sebagai kakitangan Unit Landskap kerap berulang-alik dari tempat kerja ke rumah di Sungai Tong.
“Selalunya Aiman bawa bekal ke tempat kerja tetapi semalam dia berjanji mahu pulang untuk makan petang bersama saya di rumah.
“Kebetulan malam sebelum kejadian, saya sempat memasak ikan lampam goreng yang dibawa balik dari Tasik Kenyir dan dia sempat makan serta meminta lebihan ikan itu disimpan untuk dimakan keesokan harinya,” katanya lagi.
Aiman anak yang pendiam tetapi disenangi ramai
Tambahnya, Aiman anak kedua daripada lima beradik itu merupakan seorang yang pendiam namun disenangi ramai kerana memiliki sikap pandai menyesuaikan diri.
“Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Belara kira-kira jam 11.30 pagi tadi.”
Meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan muka
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setia, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa yang cedera parah di bahagian muka dan kepala telah meninggal dunia semasa di tempat kejadian.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, Muhammad Aiman yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya tetapi gagal. Lalu bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.”
Bagaimanapun, Afandi berkata pemandu lori tersebut yang dalam perjalanan ke Hulu Terengganu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Terdahulu tular di laman Twitter ciapan seorang lelaki yang berkongsikan kejadian menyayat hati itu di laman Twitter.