fbpx
Now Reading
PAS Rela Jadi Pembangkang Dari Bergabung Dengan BN, Kata Abdul Hadi Awang

PAS Rela Jadi Pembangkang Dari Bergabung Dengan BN, Kata Abdul Hadi Awang

Jelas Abdul Hadi, PAS sama sekali tidak akan bergabung dengan BN yang disifatkannya ‘masih keruh’ selain masih mengekalkan pemimpin yang mempunyai kes mahkamah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

PAS lebih rela bergelar pembangkang daripada bergabung dengan Barisan Nasional (BN) dalam membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Itu kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang kepada pemberita semalam (15 November) selepas menghadiri Program Jelajah Presiden PAS di Cheng, Melaka.

Jelas Abdul Hadi, parti itu sama sekali tidak akan bergabung dengan BN yang disifatkannya ‘masih keruh’ selain masih mengekalkan pemimpin yang mempunyai kes mahkamah.

“Kalau kita menang sendiri dengan majoriti dua pertiga atau majoriti mudah, tak perlu kepada orang (parti lain untuk bergabung), (tetapi) kalau ada pihak yang nak bekerjasama selepas kita membentuk kerajaan, kita alu-alukan datang kepada kita.

“Kalau PAS tak dapat majoriti mudah (untuk membentuk kerajaan), kita sanggup jadi pembangkang. Kita dah jadi pembangkang berpuluh-puluh tahun, kita tak mahu kerajaan yang tak bersih.

“Bagaimanapun, jika ada pemimpin UMNO bersih (untuk bersama), itu cerita lain. Pendirian PAS masih sama, kita berprinsip (kerana) kita bukan ‘parti hanyut’,” kata calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Marang itu.

Kenyataan mahu gabung sebelum parlimen bubar

Mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Hadi berkata, itu adalah keputusan lama sebelum kerajaan membubarkan Parlimen.

“Itu kenyataan dibuat sebelum Parlimen dibubarkan, bukan selepas Parlimen dibubarkan. Saya dah nyatakan (bahawa) kita tolak BN, kita tolak PH kerana ekstrim dan membebaskan mereka yang (mempunyai kes) rasuah.

“Kes (rasuah) Lim Guan Eng dibatalkan begitu saja, proses pengampunan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tak ikut proses, penjenayah dilantik jadi pemimpin.

“BN pula kita tahu (pemimpin) mereka masih dibicarakan di mahkamah, kita mengharapkan Perhimpunan Agung Umno sebelum PRU-15, buat perubahan dalam pemilihan Umno, tapi tak boleh buat, ini jadi masalah,” katanya lagi.

Terdahulu Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pemimpin dari BN dan PN sudah memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas PRU-15.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan kenyataan Takiyuddin mengenai penggabungan di antara PN dan BN selepas PRU15.

Baca artikel berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.