Tidak Mahu Ada Rakyat Yang Terpinggir, Ini 8 Manifesto Uncle Kentang Jika Menang PRU15
Antara fokus utama beliau di dalam manifesto ini adalah untuk mengutamakan kebajikan ibu tunggal dan juga warga emas.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seperti yang telah diketahui ramai, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung pada Sabtu ini (19 November).
Oleh itu, pelbagai parti dan calon yang bertanding sudah mula membentangkan manifesto yang ditawarkan oleh mereka sekiranya memenangi PRU15 ini.
Terbaharu, calon bebas Parlimen Puchong, Kuan Chee Heng yang lebih mesra dipanggil Uncle Kentang juga tidak ketinggalan apabila menawarkan manifestonya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Menerusi manifesto ‘tiada yang terpinggir’ itu, Uncle Kentang menyenaraikan lapan fokus utama sekiranya beliau memenangi PRU15 ini.
Berikut adalah lapan manifesto daripada Uncle Kentang:
#1 Kebajikan warga emas
Uncle Kentang tidak pernah melupakan kebajikan buat warga emas. Oleh itu, beliau akan memberi kemudahan dan perlindungan untuk melestarikan hidup sihat golongan tersebut dan menjaga baik kebajikan mereka menjelang Negara Usia Tua 2030.
#2 Kebajikan ibu tunggal
Selain warga emas, ibu tunggal juga tidak akan dipinggirkan apabila inisiatif calon bebas itu ingin menyediakan satu kumpulan peguam di bawah Badan Kehakiman untuk membantu kes-kes yang berkaitan nafkah dan pembahagian harta sepencarian.
Beliau cakna dengan isu golongan ini yang tidak berkemampuan untuk melantik peguam bagi menuntut nafkah anak-anak dan diri sendiri
#3 Pendidikan awal
Selain itu, Uncle Kentang juga ingin mewujudkan kelas-kelas tadika atau pra-sekolah percuma untuk anak-anak dari keluarga susah yang menekankan silibus siasah diri dan nilai-nilai hidup yang baik.
#4 Ambulans Rakyat
Seperti yang sudah ramai ketahui, Uncle Kentang sememangnya memilik ambulans khas bagi membantu golongan yang memerlukannya.
Namun kali ini ia akan mewujudkan dua pasukan ambulans di Serdang dan Seri Kembangan untuk mempercepatkan tempoh respon dalam kecemasan.
Ambulans ini juga akan digunakan bagi membantu pesakit terlantar yang tidak mampu membayar caj ambulan swasta untuk rawatan lanjut di hospital.
#5 Pusat rakyat
Mewujudkan dua pusat khidmat setempat iaitu di Serdang dan Taman Equine untuk kemudahan rakyat juga antara manifesto yang dikemukakan oleh Uncle Kentang.
Pusat Rakyat ini diketuai oleh dua calon bebas yang akan bertanding di PRN kelak. Maklumat peribadi mereka juga akan dikongsikan supaya rakyat dapat menilai kredibiliti individu terbabit sebelum dijadikan calon bebas.
#6 e-bantuan kenderaan
Mewujudkan satu aplikasi telefon bimbit yang berfungsi 24 jam dalam usaha memberi perlindungan dan bantuan kepada penunggang motosikal dan pemandu kenderaan. Bantuan ini antaranya adalah sebab kerosakan, kemalangan atau apa-apa kecemasan yang berlaku.
#7 e-bantuan kecemasan
Mewujudkan satu system sekuriti/perlindungan melalui satu Call Center 24 jam yang boleh membantu dalam masa kecemasan dan apabila perlu melalui satu aplikasi telefon bimbit.
#8 Bank makanan
Memperkasakan Bank Makanan sedia ada dan mewujudkan lima Bank Makanan tambahan di sekitar kawasan Parlimen Puchong.
Bank makanan ini akan ditempatkan di kawasan rumah ibadah terpilih seperti masjid, tokong, kuil dan gereja.