fbpx
Now Reading
Agong Perkenan Proses Pencalonan PM Dilanjutkan Selasa 2 Petang

Agong Perkenan Proses Pencalonan PM Dilanjutkan Selasa 2 Petang

Agong turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara yakni, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini (21 November) telah menzahirkan titah perkenan baginda untuk melanjutkan proses ketua parti gabungan parti-parti politik mengemukakan senarai gabungan parti politik yang akan membentuk kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 kepada petang esok sehingga jam 2.00 petang esok (Selasa, 22 November 2022).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, titah perkenan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan daripada permohonan-permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik yang diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.

Sehubungan dengan itu, Agong menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai diadakan.

Agong turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara yakni, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).

“Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara.”

Baginda dalam masa sama turut menyeru orang ramai agar terus mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

Istana Negara sebelum ini telah menetapkan agar semua pemimpin parti berkumpul, mengisytiharkan pakatan, seterusnya menamakan pihak yang mempunyai cukup kerusi di Parlimen untuk dinamakan sebagai Perdana Menteri seterusnya membentuk kerajaan yang baharu.

Baca artikel berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.