fbpx
Now Reading
Rundingan PH & BN Untuk Tubuh Kerajaan Di Pahang Berjalan Dengan Baik – Kata Pengarah Strategi PH
PH BN buat rundingan bentuk kerajaan negeri Pahang

Rundingan PH & BN Untuk Tubuh Kerajaan Di Pahang Berjalan Dengan Baik – Kata Pengarah Strategi PH

Menurut Pengarah Strategi PH, Ahmad Nizam Hamid rundingan itu dilakukan dalam keadaan yang baik dan hasil perbincangan adalah positif.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akhirnya melabuhkan tirai pada 19 November lalu, namun hasil keputusan undian yang dimiliki di Parlimen dan DUN tidak mencukupi jumlah majoriti kerusi untuk membentuk sebuah kerajaan pusat dan beberapa negeri.

Sehubungan itu, kebanyakan parti seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) kini sedang sibuk mengadakan rundingan agar dapat menubuhkan kerajaan di pusat mahupun negeri terlibat.

PH sedang buat rundingan dengan BN untuk tubuh kerajaan negeri

Terbaharu, PH di Pahang turut mengesahkan bahawa pihaknya kini mula membuat rundingan bersama BN untuk menubuhkan kerajaan negeri memandangkan tiada parti yang mendapat majoriti mudah bagi kerusi DUN ketika PRU15 lalu.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Pengarah Strategi PH Pahang, Ahmad Nizam Hamid memaklumkan rundingan itu dilakukan dalam keadaan yang baik.

Jelasnya, fokus utama adalah mahu menubuhkan satu gabungan kerajaan yang prihatin dalam menjaga masalah rakyat selain melakukan pembangunan yang pesat.

“Saya boleh mengesahkan bahawa hasil perbincangan adalah positif.

“Kita lebih membincangkan ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak cenderung meneruskan agenda kepartian,” jelasnya.

PN lantik Timbalan Presiden Pas untuk ketua rundingan tubuh kerajaan negeri

Kenyataan itu dikeluarkan beliau sebagai respon kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang memaklumkan bahawa gabungannya telah melantik Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengetuai rundingan bagi menubuhkan kerajaan di negeri tersebut.

PRU15 ini menyaksikan PN Pahang berjaya memperoleh tujuh kerusi di Parlimen manakala bagi DUN sebanyak 17 kerusi.

Pahang bagaimanapun masih belum dapat membentuk kerajaan negeri apabila BN menang sebanyak 16 kerusi DUN dan lapan bagi PH.

Tambah beliau lagi, kenyataan bersama pimpinan BN dan PH bagi negeri itu turut akan menyusul tidak lama lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.