
Tular Video Seret, Pukul Isteri, Bekas Suami Penyanyi Dangdut Dihukum Penjara 3 Bulan & Denda RM2000
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya dengan memukul dan menendang mangsa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bekas suami penyanyi dangdut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Kajang selepas didapati bersalah memukul isterinya pada 14 November lalu.
Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Reduan Mahamood yang berusia 58 tahun selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan kepadanya.
Tambahan penjara sebulan sekiranya gagal bayar denda
Menurut Nik Siti, sekiranya dia gagal membayar denda, mahkamah akan memerintah tertuduh dikenakan tambahan hukuman penjara selama sebulan.
Pada masa sama, Nik Siti turut menasihati tertuduh serta berharap agar hukuman yang dikenakan itu dapat memberi pengajaran kepadanya.
“Seorang isteri adalah pendamping bukannya ‘punching bag’. Saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu. Jangan buat lagi pada anak, isteri dan kepada sesiapa sekali pun,” katanya.
Tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan kepada isteri
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Adriana Mohd Arif, 45, dengan memukul dan menendang.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shafiq Ahmed Bazari.
Tertuduh sudah insaf, peguam mintak hukuman diringankan
Peguam tertuduh terdahulu meminta agar mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya dengan alasan dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu.
Tambahnya, tertuduh juga yang menghidapi pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi harus menyara keluarganya.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tertuduh lebih bijak mengambil tindakan pada masa akan datang.
Tular video suami pukul isteri
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman yang memaparkan seorang suami mengheret isterinya masuk ke dalam dapur lalu menendang wanita tersebut.
Menerusi satu ciapan di laman Twitter @isusemasaviral, kelihatan juga seorang kanak-kanak kecil dipercayai anak pasangan itu menangis ketika melihat situasi tersebut di depan matanya.
Perkongsian itu sekaligus menyebabkan rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakannya memukul isterinya di hadapan anak mereka.



