fbpx
Now Reading
Kerajaan Perpaduan Terdiri Daripada PH, BN dan GPS – Anwar Ibrahim

Kerajaan Perpaduan Terdiri Daripada PH, BN dan GPS – Anwar Ibrahim

Selain itu beliau berkata akan menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan wilayah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi mengumumkan kerajaan baharu yang akan diketuainya iaitu Kerajaan Perpaduan Nasional terdiri dari tiga komponen iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau dalam masa sama turut memaklumkan tidak akan menolak mana-mana parti yang ingin menyertai kerajaannya.

“Kita juga tidak menolak mana-mana penyertaaan parti-parti lain. Saya ingin tegaskan semasa pertemuan dengan rakyat Malaysia, (jika saya dilantik) sebagai perdana menteri yang mewakili semua kaum bagi menjamin keharmonian, saya tetap bersedia menerima semua yang lain untuk menjadikan negara ini bersatu,” kata Anwar dalam sidang media pertama beliau sebagai Perdana Menteri.

Foto : Fernando Fong/ BuzzKini

Jaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira bangsa selain melindungi hak Melayu & Islam

Tambah Anwar, beliau telah menetapkan sidang pertama Parlimen pada 19 Disember ini di mana langkah pertama ialah mengadakan usul undi percaya bagi membuktikan keabsahan kerajaannya.

Selain itu beliau berkata akan menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan wilayah namun memberi jaminan akan melindungi hak orang Melayu dan kedudukan Islam serta kedudukan Raja-Raja Melayu.

Tolak gaji perdana menteri

Ahli Parlimen Tambun itu juga memaklumkan akan tetap dengan pendiriannya untuk tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri selain tidak akan bertolak ansur dengan rasuah.

“Ini bermakna tata kelola (pemerintahan) harus dikemaskini. Ini disepakati, ini syarat kita dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di negara kita”, kata Anwar lagi.

Beliau di dalam sidang media sama turut mengumumkan Isnin, 28 November sebagai cuti umum untuk seluruh negara.

Terdahulu Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 5 petang di Istana Negara.

Baca artikel berkaitan : Anwar Ibrahim Angkat Sumpah Perdana Menteri Ke-10 [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.