Semalam (1 Disember), pengendali skuad Kebangsaan, Kim Pan Gon mengeluarkan kenyataan di mana ini kali pertama sepanjang kariernya menyaksikan pemain menolak panggilan pasukan kebangsaan.
Menurut laporan Utusan Malaysia, seramai 12 tonggak Harimau Malaya menolak untuk menyertai piala AFF dan 11 daripadanya merupakan pemain skuad Johor Darul Takzim (JDT).
TMJ sifatkan Kim Pan Gon tiada timbang rasa
Susulan itu, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim memuat naik satu hantaran di Instagram (IG) Story rasminya untuk membidas kenyataan daripada jurulatih berusia 53 tahun itu.
Menurutnya, baginda mengatakan kenyataan yang diberikan oleh Kim Pan Gon itu sebagai sesuatu yang tidak bertimbang rasa.
TMJ jelaskan, pemain tak tolak buta-buta
Pada masa sama, baginda turut menjelaskan mengapa ada segelintir pemain yang memilih untuk tidak menyertai kejohanan tersebut.
Dalam tangkap layar yang dimuat naik di laman Twitter @nocontextbolamy, Tunku Ismail berkata pemain tidak hanya menolak untuk menyertai piala AFF secara buta-buta, malah mereka juga turut memberikan komitmen yang tinggi apabila mewakili skuad kebangsaan.
Pemain juga manusia biasa, perlukan rehat
Tambah baginda, para pemain itu juga adalah manusia biasa yang memerlukan rehat setelah berusaha keras ketika saingan liga Malaysia baru-baru ini.
“Pemain juga adalah manusia yang bekerja, training (berlatih), main, semenjak bulan Januari. Manusia mana kerja tanpa cuti. Apabila liga atau pertandingan domestik kita break, pemain national team tiada break kerana mereka ada training camp selama 3 minggu.
“Apa punya pemimpin atau ketua tiada simpati terhadap pekerjanya? Tiada rasa segan. Yang bayar gaji dan invest (melabur) adalah club bukan awak.” tulisnya.