Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa rakaman orang awam yang memaparkan keadaan kenderaan melambung tinggi setelah melanggar bongol jalan yang tidak disedari mereka di jalan berhadapan kampus Universiti Selangor (UNISEL), Seksyen 7.
Menerusi beberapa video yang dikongsikan di laman Twitter @adiehussin94, kelihatan jelas beberapa buah kenderaan bergerak secara laju sebelum melambung tinggi dan hampir hilang kawalan selepas melanggar bongol tersebut.
Pada video sama, kedengaran juga bunyi hentakan dan geseran kuat akibat di bahagian bawah kereta semasa kenderaan tersebut kembali jatuh ke atas jalan.
Orang awam nyalakan ‘flashlight’ telefon, bantu beri amaran
Dalam usaha mengurangkan lebih banyak kenderaan menjadi mangsa, beberapa orang awam kelihatan menyalakan ‘flashlight’ pada telefon bimbit mereka sebagai amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.
Jalan ditutup sementara oleh MBSA untuk kerja penambahbaikan
Terkini, menerusi satu hantaran di laman Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kelihatan pihak bandaraya cakna mengenai isu bongol jalan yang tular tersebut.
Difahamkan, pihak MBSA telah menutup jalan tersebut buat sementara waktu bagi menjalankan kerja-kerja penambahbaikan.
“Pada masa ini, laluan trafik dilencongkan ke Jalan Tungsten 7/23, Seksyen 7 terus ke Persiaran Kayangan. Jalan yang di tutup akan di buka semula setelah kerja-kerja penambaikan siap dilaksanakan,” kata MBSA.
Pada masa sama, pihak bandaraya tersebut juga telah mengecat jalan raya terbabit serta meletakan ‘signboard’ jalan bersebelahan kampus UNISEL.