“Pakailah Sejadah Aku, Biar Aku Dapat Pahala Berterusan” – Kisah Wakaf Terakhir Pensyarah UPM
Menurut isteri Allahyarham, arwah suaminya mewakafkan sejadah miliknya buat kegunaan para pelari marathon yang lain untuk solat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Berita kematian Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nik Mohd Faiz Nik Mohd Azmi mengejutkan ramai terutamanya warga pendidik dan penuntut universiti terbabit.
Allahyarham Nik Mohd Faiz dikatakan meninggal dunia sebaik menamatkan larian di Langkawi International Half Marathon 2022 yang diadakan pada Sabtu lalu (17 Disember).
Kisah indah arwah bersama sejadahnya
Namun, di sebalik kisah sedih tentang pemergian arwah, terungkai juga satu kisah indah mengenai Allahyarham yang dikongsikan oleh isterinya, Sheereen Zulkefly di Facebook.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook miliknya, wanita itu menceritakan ‘kisah sejadah’ membabitkan suaminya seperti yang telah dikongsikan oleh seorang rakan arwah, Syahmi yang turut menyertai pertandingan marathon tersebut.
‘Kisah Sejadah’
Menurutnya, sebelum acara bermula, arwah bersama rakannya sempat menunaikan solat subuh terlebih dahulu.
“Allahyarham suami saya menunaikan solat subuh terlebih dahulu sebelum memulakan larian. Beliau lihat ramai yang tunggu turn (giliran) untuk menggunakan khemah untuk solat subuh,” tulisnya.
Ingin pahala berterusan, suruh rakan guna sejadahnya
Setelah selesai solat subuh, wanita itu berkata arwah suaminya menyuruh rakannya itu menggunakan sejadah miliknya.
“Kau pakailah sejadah aku. Lepas ni aku nak wakafkan sejadah ni dekat runners lain. Biar aku dapat pahala berterusan,” ujar arwah kepada rakannya.
Sejadah yang sama turut dikongsikan bersama pelari yang lain
Tambah wanita itu, setelah rakan arwah suaminya selesai solat, sejadah yang sama juga diberikan oleh Allahyarham kepada pelari yang lain untuk digunakan.
“Abang, pakai sejadah saya. Lepastu abang passkan (bagi) dekat orang seterusnya ya,” kata Allahyarham lagi.
Gambar tular arwah bersama sejadah, ketika marathon November lalu
Difahamkan, gambar tular arwah suaminya bersama sejadah yang diselitkan di sisi pinggang merupakan gambar lama ketika dia dan Allahyarham menyertai larian marathon di Kuala Lumpur pada bulan November lalu.
Di akhir perkongsian, wanita itu berharap agar niat arwah suaminya untuk mendapat pahala berterusan itu dimakbulkan oleh Allah SWT.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut sebak dengan kisah tersebut serta mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama golongan-golongan solihin.
Allahyarham rebah secara tiba-tiba semasa menghampiri garisan penamat
Terdahulu, menurut laporan media, Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, Allahyarham Nik Mohd Faiz tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika menghampiri garisan penamat.
Menurutnya, Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Maliha semasa dalam perjalanan ke hospital.
Kata Shariman, ujian COVID-19 yang telah dilakukan didapati negatif dan jenazah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.