fbpx
bayi kuning atau jaundice

Bayi Anda Kuning? Ketahui Punca Dan Cara Untuk Merawatnya

Masalah kuning atau jaundice pada bayi adalah suatu perkara yang normal namun sebagai ibu bapa anda perlu ketahui apakah punca dan cara untuk merawatnya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Masalah penyakit kuning atau jaundice di kalangan bayi adakalanya menjadi satu mimpi ngeri terutama kepada mereka yang baharu sahaja menjadi ibu bapa.

Penyakit kuning pada bayi sebenarnya adalah normal dan boleh pulih dengan sendirinya namun ia juga tidak boleh dipandang enteng agar bacaan kuning bayi tidak berada pada tahap yang teruk.

Ketahui punca jaundice atau kuning pada bayi

Baru-baru ini, seorang pengamal perubatan yang terkenal di media sosial iaitu Dr Ahmad Samhan telah berkongsi apakah punca dan cara untuk merawat bayi yang berdepan dengan masalah kuning atau jaundice.

Jelasnya, punca bayi terkena jaundice adalah disebabkan kehadiran pigmen ‘Bilirubin’ yang berlebihan di dalam darah dan ia akan mendap di kulit serta menunjukkan warna kekuningan pada bayi.

Malah pigmen ini juga terhasil disebabkan pemecahan sel darah merah bayi.

Kata Dr Samhan, semasa bayi di dalam rahim, darah mereka dan ibu berhubung melalui placenta atau dikenali sebagai uri. Sel darah merah bayi hanya sesuai untuk kegunaan ketika mereka berada di alam rahim.

“Apabila lahir, penukaran sel darah merah perlu berlaku bagi memastikan cukup oksigen dibawa oleh sel-sel darah merah itu. Penukaran ini melibatkan pemecahan sel darah merah bayi tersebut. Ia dipanggil ‘Hemolysis’,” katanya.

Maka dari situlah terhasilnya bilirubin yang banyak dalam darah bayi dan menyebabkan mereka kuning. Malah proses ini akan berterusan sehingga hari kelima dan akan berkurang selepas itu.

Bilirubin ini akan diproses di hati dan akan singkirkan melalui berak serta air kencing bayi.

Namun terdapat tiga sebab kuning bayi menjadi tinggi dan tidak turun-turun.

#1 Bilirubin berlebihan

Penghasilan bilirubin yang berlebihan ini boleh berlaku apabila pemecahan sel darah merah bayi berlaku secara keterlaluan.

Perkara ini kebiasaanya berlaku di kalangan ibu yang mempunyai darah jenis O, ibu berdarah jenis rhesus negatif, bayi mengidap G6PD (masalah kekurang enzim dalam darah merah) atau jangkitan yang membuat sel darah merah bayi pecah terlalu banyak.

#2 Kegagalan hati untuk memproses bilirubin

Hati bayi tidak sematang orang dewasa maka sekiranya para ibu mengambil sebarang suplemen atau jamu ia akan pergi melalui susu ibu dan seterusnya ke hati bayi.

Keadaan ini boleh menyebabkan bayi mengalami hati yang bengkak selain mengurangkan fungsi hati dan menyebabkan kuning sukar untuk disingkirkan dari badan si comel.

Oleh itu, sebelum mahu mengambil sebarang ubat atau suplemen pastikan anda mendapat nasihat dari doktor terlebih dahulu.

#3 Bayi kurang berak dan kencing

Foto: Pexels

Apabila bayi kuning kita sering kali mendengar doktor menasihatkan agar ibu untuk membiarkan bayi menyusu dengan kerap.

Ini kerana apabila kurang menyusu si kecil akan kurang membuang atau kencing maka bilirubin sukar untuk disingkirkan.

Bahaya kuning tinggi pada bayi

Pigmen bilirubin yang tinggi boleh menembusi selaput otak si manja yang tidak matang serta menyebabkan berlakunya keradangan pada bahagian otak dan saraf tunjang.

Malah bayi berpotensi untuk mengalami masalah terencat akal dan pekak jika penyakit kuning ini tidak dirawat dengan betul.

Cara merawat bayi kuning

Tanpa berlengah jom kami kongsikan cara rawatan yang boleh diikuti para ibu yang mengalami masalah bayi kuning.

Foto: Pexels
  • Kerap menyusu setiap 1-2 jam dan ibu dilarang untuk mengambil sebarang ubatan, jamu dan suplemen tanpa nasihat doktor
  • Rawatan fototerapi menggunakan sinar ultraviolet untuk menukarkan pigmen bilirubin yang termendap di kulit menjadi sebatian yang larut air dan mudah disingkirkan menerusi bahan buangan.
  • Pastikan bayi kerap membuang air besar dan kencing.
  • Tidak perlu mandikan bayi dengan air herba dan sebagainya.
  • Ikuti nasihat doktor dan jururawat untuk pastikan darah bayi sentiasa di bawah photo level.

Haa mudah bukan rawatan yang diberikan, harap para ibu selepas ini jangan bimbang jika si comel anda ada masalah kuning.

Apa yang penting terus positif dan sentiasa dapatkan nasihat dari yang pakar. Insha-Allah bayi anda akan kembali normal 😉.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.