Kantoi Culas 45 Kali Bayar Tol, PROLINTAS Tahan Pemandu Kereta Mercedez
Cuba mengelak sebanyak 45 kali dari membayar tol, pemandu kenderaan jenama Mercedes terpaksa bayar tugakkan RM275.65 kepada pihak PROLINTAS.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Isu kenderaan culas atau lari daripada membayar tol bukanlah suatu perkara yang baharu.
Meskipun ramai yang sudah tertangkap oleh pengurusan tol atas sikap tidak bertanggungjawab ini, masih lagi ada yang berdegil dan tetap melakukannya.
Apa yang lebih berbahaya ada yang sanggup mengekori kenderaan di hadapan dengan jarak yang sangat dekat atau dipanggil ‘tailgate’ kerana mahu mengelak dari membayar tol.
Perkara ini secara tidak langsung boleh membahayakan keselematan pengguna jalan raya yang lain serta boleh menyebabkan syarikat terpaksa menanggung kerugian.
PROLINTAS tahan sebuah kenderaan mewah elak bayar tol 45 kali
Terbaharu, pihak PROLINTAS AKLEH telah berjaya menahan sebuah kenderaan mewah jenis Mercedes Benz A-Class yang didakwa mengelak dari membayar tol sebanyak 45 kali.
Menerusi ciapan yang dimuat naik oleh PROLINTAS AKLEH, semakan yang dilakukan terhadap kenderaan berkenaan mendapati ianya mempunyai tunggakan sebanyak RM275.65 kerana enggan membayar tol sebelum ini.
Bayar tunggakan serta-merta
Namun jumlah tunggakan tersebut telah berjaya dilangsaikan oleh pemandu kenderaan mewah berkenaan dengan serta-merta.
“Cuba teka, kali ni kereta apa pula yang kantoi? Amboi berani betul sister ni,” ciapnya.
Minta orang ramai jadikan iktibar
PROLINTAS dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai agar menjadikan insiden berkenaan sebagai satu iktibar dan tidak meniru aksi yang tidak bermoral itu.
“Anda bukan sahaja menceroboh, perbuatan ini juga membahayakan kenderaan lain,” jelasnya lagi.
Menerusi semakan kami, Akta Jalan-Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984 memperuntukkan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM5,000 kepada mereka yang didapati bersalah tidak membayar tol.
Ramai kecam tindakan pemandu culas bayar tol
Melihat di ruangan komen, ramai yang mengecam tindakan kenderaan tersebut dan ada yang berpendapat individu yang melakukan hal terbabit perlu digantung lesen atau disaman di mahkamah.