fbpx
Now Reading
‘Bebas Cukai Tapi Barang Mahal?’ – Pulau Langkawi Makin Sunyi, Pelancong Makin Berkurangan

‘Bebas Cukai Tapi Barang Mahal?’ – Pulau Langkawi Makin Sunyi, Pelancong Makin Berkurangan

Kebanyakan peniaga dan penggiat industri pelancongan di Langkawi menyalahkan trip feri yang berkurang dan tidak menentu menyebabkan pelancong tidak lagi berminat ke pulau itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pulau Langkawi merupakan antara kawasan pelancongan yang cukup terkenal di Malaysia. Ramai pelancong dari dalam dan luar negera akan mengunjungi pulau ini untuk merasai sendiri pengalaman bercuti di sini.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, ramai pihak yang mendakwa Pulau Langkawi semakin sunyi kerana jumlah pelancong semakin berkurangan.

Suasana di Pulau Langkawi tidak lagi semeriah dahulu

Memetik Kosmo, para peniaga dan penggiat industri pelancongan berkata, suasana di Pulau Langkawi tidak lagi semeriah dahulu yang sebelum ini sering menjadi tumpuan para pelancong setiap kali tibanya musim cuti persekolahan atau cuti umum.

Kata mereka, jumlah pelancong semasa cuti sempena Tahun Baru Cina dan cuti sekolah pada hujung tahun lalu juga didapati berkurangan.

Trip feri yang kurang dan tidak menentu antara puncanya

Kebanyakan daripada mereka juga menyalahkan trip feri yang tidak menentu dan berkurang menyebabkan pelancong tidak lagi berminat untuk masuk ke Langkawi.

Menurut peniaga laksa ikan seekor di Pantai Kuala Muda, Sharuzainee Abdul Hamid, 46, dia pernah menjual sehingga 120 mangkuk laksa sehari ketika cuti sekolah pada tahun 2019.

Bagaimanapun, keadaan sudah mula berubah apabila dia hanya mampu menjual sebanyak 50 hingga 60 mangkuk laksa sahaja dalam sehari ketika musim cuti umum dan cuti persekolahan.

“Kalau hari biasa, jumlah jualan akan jadi lebih sedikit kerana tidak ramai orang masuk Langkawi untuk melancong. Macam mana nak masuk, jadual feri pun tidak menentu,” katanya semalam (26 Januari).

Hasil jualan berkurang sehingga 60% berbanding tiga tahun dahulu

Bagi peniaga restoran pula, Abdul Halim Husain, 45, hasil jualan yang diperolehinya menurun sehingga 60% pada musim cuti persekolahan dan cuti umum baru-baru ini berbanding pada tiga tahun lalu.

“Hasil jualan harian saya menurun antara 40% hingga 60% pada cuti baru-baru ini dan menjadi lebih kurang pada hari biasa. Masalah jadual feri menyebabkan peratus kemasukan pelancong turun mendadak dan memberi kesan kepada peniaga.”

Peniaga restoran, Abdul Halim Husain

Harga barang yang mahal dikenakan pada pelancong

Sementara itu, seorang ejen pelancongan, Safwan Jamil yang berusia 32 tahun pula berkata status bebas cukai yang diberikan kepada pulai ini umpama tidak bermakna kerana kebanyakan barang yang dibeli oleh pelancong adalah mahal.

Katanya, ada juga barangan yang dikecualikan daripada status bebas cukai tersebut.

“Harga makanan yang dijual di tempat tumpuan pelancong se­perti di Pantai Chenang juga mahal dengan alasan kos bara­ngan di sini lebih mahal berbanding di tanah besar. Saya bukan mahu mereka jual terlampau murah, tetapi harga­nya biarlah bersesuaian.”

Ejen pelancongan, Safwan Jamil
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.