fbpx
Now Reading
“Hidangan Yang Lengkap” – Pelanggan Sifatkan Menu Rahmah Berbaloi
Menu Rahmah

“Hidangan Yang Lengkap” – Pelanggan Sifatkan Menu Rahmah Berbaloi

Kebanyakan pelanggan yang kami temui merasakan Menu Rahmah yang ditawarkan dari jam 10 pagi hingga 3 petang adalah berbaloi kerana dengan RM5 mereka dapat menikmati hidangan lengkap berserta segelas air teh’o ais.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bermula 31 Januari yang lalu, lebih 15,000 restoran di seluruh negara telah mula menawarkan Menu Rahmah untuk makanan tengah hari atau makan malam dengan harga serendah RM5 kepada golongan B40.

Menu Rahmah ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu golongan tersebut untuk dapat membeli makanan pada harga yang murah dan berpatutan.

Bukan itu sahaja, menu makanan yang ditawarkan adalah satu hidangan yang lengkap dan sihat.

Ali Maju di Setapak tak ketinggalan buat Menu Rahmah

Susulan dari inisiatif berkenaan, BuzzKini telah meninjau ke sebuah restoran, Ali Maju di Setapak yang tidak ketinggalan untuk menyahut usaha yang dilakukan oleh kerajaan dengan menyediakan Menu Rahmah pada harga RM5 di premis mereka.

Di restoran ini terdapat dua set hidangan Menu Rahmah yang ditawarkankan:

  • Set nasi bersama ikan, sayur dan segelas teh’o ais/ panas.
  • Set nasi bersama ayam, sayur, dan segelas teh’o ais/ panas.

Menurut pekerja restoran yang dikenali sebagai Akhbar, 31, bagi set ayam, terdapat beberapa pilihan yang ditawarkan kepada pelangggan iaitu kari ayam, ayam masala, dan lain-lain.

Namun bagi set ikan tiada pilihan menu lain yang ditawarkan.

Katanya, Menu Rahmah itu mula diperkenalkan di kedai berkenaan sejak semalam (1 Februari) dan ia mendapat sambutan sekitar 50 ke 60 orang pelanggan yang membeli menu berkenaan.

Selain itu, menu ini akan ditawarkan setiap hari kepada pelanggan bermula pada jam 10 pagi hingga 3 petang.

Perbezaan harga yang ketara antara Menu Rahmah dan menu biasa

Kami juga turut membandingkan Menu Rahmah dengan menu biasa dan mendapati perbezaan harga kedua menu berkenaan adalah sekitar RM4.50. Namun dari segi kuantiti menu biasa lebih banyak berbanding Menu Rahmah.

Foto: Afifa (BuzzKini)

Pelanggan sambut baik inisiatif Menu Rahmah dan berbaloi

Pelanggan Abdul Syukor, 60, berpendapat menu berkenaan sangat berbaloi dan berpatutan memandangkan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

“Memang bagus kerajaan buat seperti ini memang digalakkan. Bagi mereka yang golongan B40 seperti saya meskipun sudah pencen ia sangat membantu,” katanya.

“Saya baru sahaja mengetahui tentang menu tersebut, dan pada saya ia sangat berbaloi kerana saya bekerja di sekitar kawasan ini dan harga dengan menu ditawarkan adalah baik selain dapat membantu untuk berjimat,” kata Mareena, 25, yang juga seorang pekerja pentadbiran di sebuah klinik pergigian.

“Menu Rahmah yang disyorkan ni sangat berbaloi terutamanya kepada orang bujang seperti saya dan adakalanya seperti di tengah bulan mempunyai kesempitan wang jadi dengan adanya menu ni dapat membantu saya untuk berjimat.

“Malah saya juga mendapat hidangan yang lengkap. Bukan itu sahaja jika ada pelajar yang datang mereka juga dapat menikmati menu ini,” kata Maira, 21, bekerja sebagai pembantu klinik.

Pada pendapat kami, Menu Rahmah yang dihidangkan di restoran ini adalah berbaloi meskipun kuantitinya tidak seperti menu biasa namun ia adalah satu set yang lengkap dengan pelbagai nutrisi selain mengenyangkan.

Tetapi sesuatu yang menimbulkan persoalan kami bagaimanakah pengusaha mahu membezakan golong B40 dengan yang lain.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.