Korban Gempa Bumi Di Turkiye, Syria Adalah Mati Syahid – Bekas Mufti N9
Allah SWT sudah pun menyediakan ganjaran buat mereka yang terkorban ekoran dari gempa bumi iaitu ganjaran mati syahid. Malah tidak ada ganjaran terbesar yang menjadi impian seorang Muslim kecuali meninggal dalam keadaan sebegitu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (6 Februari), seluruh dunia dikejutkan dengan kejadian gempa bumi kuat yang melanda Turkiye dan Syria.
Gempa bumi tersebut yang berlaku pada Isnin jam 4 pagi (waktu tempatan), di saat majoriti penduduk di kedua-dua negara itu sedang lena tidur menyebabkan sekurang-kurangnya 4,300 nyawa terkorban dan belasan ribu tercedera dan ada yang masih tertimbus dalam runtuhan bangunan.
Angka korban dijangka terus meningkat di saat misi mencari dan menyelamat (SAR) yang disifatkan terburuk dalam tempoh lebih 100 tahun di Turkiye sedang dijalankan oleh pihak berkuasa yang turut disertai oleh pasukan SAR dari beberapa negara.
Keadaan ini pasti menimbulkan kesedihan di kalangan keluarga mangsa yang terkorban di dalam bencana tersebut.
Namun di sebalik kesedihan akibat kehilangan insan tersayang, perlu diingatkan terdapat hikmah dari apa yang berlaku.
Allah SWT sudah pun menyediakan ganjaran buat mereka yang terkorban ekoran dari gempa bumi iaitu ganjaran mati syahid. Malah tidak ada ganjaran terbesar yang menjadi impian seorang Muslim kecuali meninggal dalam keadaan sebegitu.
Mereka yang meninggal dunia akibat gempa bumi adalah mati syahid
Menurut bekas Mufti Negeri Sembilan, Sahibus Samihah Dato’ Hj Mohd Yusof Bin Hj Ahmad, mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian gempa bumi tersebut adalah mati syahid akhirat iaitu mereka akan dikurniakan pahala mati syahid pada hari kiamat kelak.
Namun urusan pengebumian jenazah akan diuruskan sama seperti jenazah Muslim yang lain iaitu perlu dimandi, dikafan, serta disolatkan sebelum dikebumikan.
Penjelasan ini dilihat disimpulkan dari beberapa hadis Nabi SAW, antaranya seperti berikut:
“Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang mati kerana taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari, 2829 & Muslim, 1914).
Mengulas sama ada rakyat Malaysia boleh turut serta mengadakan solat jenazah ghaib dan sebagainya, Hj Mohd Yusof menjelaskan ianya boleh dilaksanakan sekiranya yakin jenazah sudah dimandikan.
“Menurut mazhab syafi’e, solat jenazah boleh dilakukan setelah yakin mayat itu telah dimandikan.”
Kata SS Dato’ Hj Mohd Yusof Bin Hj Ahmad kepada BuzzKini
Untuk rekod, kawasan yang terjejas teruk akibat beberapa siri gempa bumi itu adalah di Gaziantep, Kahramanmaras, Sanliurfa, Osmaniye, Diyarbakir dan Malatya manakala di Syria melibatkan Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus.
Banyak negara kemudiannya mula menghantar pasukan penyelamat termasuk Malaysia yang menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) 6 Februari malam diikuti dua ekor anjing terlatih dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 7 Februari).
Bahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menyarankan orang ramai agar mengadakan solat jenazah ghaib bagi mangsa gempa bumi di kedua-dua negara berkenaan.
Baca artikel berkaitan: