Sebuah stesen televisyen (TV) yang berpangkalan di Thailand berjanji untuk memberi pampasan kepada waris kakitangannya yang meninggal dunia di dalam pejabat kerana bekerja lebih masa.
Menurut Kosmo yang memetik Coconuts, stesen TV yang dikenali sebagai Thai News Network (TNN) mengumumkan pihaknya akan menghormati kematian pekerjannya, Sarawut ‘Bird’ Srisawas dengan membayar pampasan sebanyak 24 kali gaji bulannya serta pampasan insurans.
“Bagi pihak syarikat, kami amat menyesali kehilangan ini. Syarikat akan membuat yang terbaik untuk membantu keluarga Sarawut,” demikian menurut kenyataan dikeluarkan jabatan sumber manusia.
Mendiang ditemui mati di meja pejabat pada Jumaat lalu
Difahamkan, Sarawut merupakan seorang pekerja kanan di TNN dan dia ditemui mati di meja pejabatnya pada Jumaat lalu (3 Februari) akibat serangan jantung.
Akaun media sosial mendiang pertama kali dikongsikan menerusi laman Facebook (FB) Jor Dub yang banyak mengikuti beberapa media Thailand.
Mendiang bekerja lebih masa dan kadang perlu kerja selama seminggu berturut-turut
Menurutnya, mendiang sering bekerja lebih masa dengan ada masa perlu bekerja selama tujuh hari berturut-turut dan mula jatuh sakit.
“Meskipun ketika mengambil cuti sakit selama dua hari, dia diarah masuk ke pejabat (stesen televisyen) untuk bekerja,” tulisnya di kapsyen FB.
Ramai kritik pengurusan TNN kerana membebankan pekerja
Susulan insiden tersebut, ia telah menjadi bualan hangat di media sosial sehingga ramai orang menkritik pengurusan TNN kerana membebankan pekerja dengan memaksa mereka bekerja lebih masa.
“Industri media mempunyai budaya kerja yang melanggar undang-undang buruh terutamanya media online yang mempunyai persaingan sengit,” kata Naib Presiden Persatuan Wartawan Thailand, Teeranai Charuvastra.
Tambahnya, kerja ‘overtime’ tanpa bayaran dan syif secara berterusan akan menyebabkan pekerja tidak cukup rehat.