Wanita Jual Nasi Lemak RM1 ‘Diserang’ Pengusaha Kantin Cetus Perdebatan Ramai [Video]
Selain itu, lelaki terbabit juga meminta agar wanita tersebut mencari kawasan berniaga yang baru.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak semalam (16 Februari), tular satu rakaman di media sosial yang memaparkan pertengkaran di antara seorang lelaki dan juga seorang wanita berhampiran sebuah Klinik Kesihatan di Shah Alam.
Menerusi hantaran di laman TikTok akaun @teacher_aina, kejadian dipercayai berlaku apabila lelaki terbabit yang juga seorang pengusaha kantin menyerang wanita yang menjual nasi lemak RM1 berhampiran kawasan itu.
Lelaki dakwa peniaga nasi lemak RM1 tutup laluan pejalan kaki
Selain itu, lelaki terbabit turut mendakwa peniaga nasi lemak itu menutup laluan pejalan kaki di kawasan tersebut sekaligus menyebabkan perniagaannya terjejas.
“Saya penyewa kat bawah tu (kantin) kak. Akak tutup jalan utama, kalau dah nasi lemak RM1 matilah kami semua,” kata lelaki itu.
Percaya dengan konsep rezeki datang dari Allah SWT
Namun, wanita tersebut membalasnya dengan mengatakan konsep rezeki datang dari Allah SWT selain menyangkal dia menutup laluan pejalan kaki.
Lelaki terbabit berkata lagi bahawa jualan nasi lemaknya tidak laris kerana rata-rata orang membeli nasi lemak daripada wanita tersebut.
“Nasi lemak abang tak habis jadi abang nak salahkan saya ke?” balas wanita itu.
Minta wanita itu mencari tapak baharu
Selain itu, lelaki terbabit juga meminta wanita tersebut agar mencari kawasan berniaga yang baru serta tidak berniat untuk melaporkan peniaga nasi lemak itu kepada pihak Majlis Bandaraya.
“Tapi saya taknak report, dah lah esok akak jangan berniaga dekat sini, saya sewa RM900 sebulan, 4 tahun dah saya kat situ,” kata lelaki itu lagi.
Menerusi video sama, lelaki berkenaan juga dilihat merendahkan keadaan fizikal peniaga wanita tersebut sehingga menimbulkan kemarahannya.
Video berdurasi hampir tujuh minit itu berakhir apabila seorang lelaki dipercayai pengawal keselamatan hadir untuk menenangkan keadaan dan menghentikan pertelingkahan di antara dua peniaga tersebut.
Difahamkan, peniaga nasi lemak RM1 itu akan mencari tapak berniaga baru di sekitar kawasan Seksyen 7.
Memindai ruangan komen, video tular tersebut ternyata menyebabkan berlaku perdebatan di antara pengguna media sosial.