fbpx
anak meninggal dunia nahas 5 kencederaan

Anak 2 Tahun Maut Dalam Nahas 5 Kenderaan, Bapa Minta Saksi Tampil Bantu Siasatan

Aizat Istamuel berharap individu yang menjadi punca kepada kemalangan tersebut sedar dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada Ahad lalu, berlaku satu kemalangan maut di Leburaya Senai- Desaru di Bandar Penawar, Johor yang melibatkan lima buah kenderaan hingga menyebabkan seorang kanak-kanak berusia 2 tahun meninggal dunia dan 12 individu lagi tercedera.

Kemalangan itu dipercayai berpunca disebabkan terdapat kenderaan yang cuba untuk memotong tetapi tidak lepas.

Minta saksi tampil bantu siasatan pihak polis

Terbaharu, bapa kepada kanak-kanak yang meninggal dunia itu meminta agar saksi yang mempunyai bukti rakaman dashcam (papan pemuka) untuk tampil membantu pihak polis.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Aizat Istamuel memaklumkan insiden yang berlaku pada 19 Februari itu yang menyebabkan anak lelakinya maut turut menyebabkan isteri mengalami kecederaan di pelbagai anggota badan.

Nampak satu kenderaan cuba memotong sebelum kemalangan

Jelasnya, sebelum kemalangan dia melihat sebuah kenderaan berwarna hitam atau gelap telah memotong hingga terlalu rapat dengan kenderaan dari arah bertentangan.

“Sebelum kemalangan saya melihat sebuah kenderaan berwarna hitam atau gelap telah memotong terlalu rapat dengan kereta dari arah bertentangan sehingga mereka mengelak dan terbabas melanggar saya dan kereta-kereta di belakang.

“Saya mohon bantuan jika ada sesiapa yang ada rakaman dashcam atau lain-lain bukti atau saksi untuk tampil ke saya atau Balai Polis Trafik Kota Tinggi,” katanya.

Dia yang mungkin masih bersedih turut menyatakan anaknya yang terkorban dalam kemalangan tersebut masih belum sempat untuk mengenal dunia.

“Terlalu singkat waktu beliau bersama ibu bapanya. Terlalu singkat gelak tawa, tangisan dan permintaan dari dia tapi disebabkan kecuaian dan kelalaian seseorang, dia telah pergi meninggalkan kami.

“Harta wang ringgi semua boleh diganti. Tapi anak saya, satu-satunya anak saya tiada gantinya.

“Awak telah merampas hidup anak saya. Saya harap awak yang menyebabkan kemalangan ini sedar, bertanggungjawab,” katanya.

Dia dalam masa sama turut berkongsi gambar yang menunjukkan momen indah bersama anakanya ketika bermain di tepi pantai dan menyatakan saat itu tak akan berulang lagi kepada mereka.

“Lihatlah anak saya yang tak ternilai. Dia cakap ‘Gibran happy main pantai dengan mama, papa’ saat-saat ini dah tak mungkin kembali kepada kami,” tulisnya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.