fbpx
Now Reading
Terpalit Kontroversi Rasuah, Ini Ringkasan Tentang Jana Wibawa Yang Patut Anda Tahu

Terpalit Kontroversi Rasuah, Ini Ringkasan Tentang Jana Wibawa Yang Patut Anda Tahu

Secara ringkasnya, Jana Wibawa adalah satu inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa pandemik COVID-19.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti mengetahui, Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini (21 Februari) telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan rasuah berhubung inisiatif Jana Wibawa.

Dia bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Ahli Parlimen Tasik Gelugor itu didakwa meminta dan menerima suapan RM6.9 juta berhubung satu inisiatif Jana Wibawa iaitu projek Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur bernilai RM232 juta.

Selain bekas Pengerusi PTPTN itu, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad turut berdepan tuduhan sama di mahkamah berasingan.

Adam Radlan dituduh meminta suapan wang tunai berjumlah antara 3.5% hingga 7% daripada nilai projek yang diperoleh syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd menerusi pengarah urusannya, Mat Jusoh Mamat.

Dia turut dituduh menerima suapan wang tunai berjumlah RM500,000 kerana ‘usahanya’ membantu syarikat itu mendapatkan surat berkenaan bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Baca artikel berkaitan: Wan Saiful Mengaku Tidak Bersalah Atas Pertuduhan Rasuah Bernilai RM6.9 Juta Babitkan Projek Jana Wibawa

Apakah Jana Wibawa?

Namun persoalan yang timbul di kalangan orang awam, apakah sebenarnya Projek Jana Wibawa ini?

Secara ringkasnya, Jana Wibawa adalah ringkasan bagi Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa, satu inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin semasa pandemik COVID-19.

Difahamkan projek ini adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang sudah bermula pada tahun 1993.

Program ini juga dikhususkan untuk pembangunan kontraktor Bumiputera Tulen yang mana ahli Lembaga Pengarah, pemegang saham dan lain-lain sebagainya adalah 100% Bumiputera.

Foto: Pexels

Diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 2020

Pelaksanaan inisiatif ini telah diluluskan oleh Jemaah Kabinet di era Perdana Menteri pada waktu itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 13 November 2020 dengan tujuan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan serta meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan.

Selain itu ia juga sebahagian dari usaha kerajaan dalam mencapai sasaran memperkukuh Komuniti Ekonomi Bumiputera (BEC).

Penilaian syarikat yang layak menerusi dua fasa

Dari segi penilaian pula, terdapat dua fasa kelayakan yang perlu dilalui syarikat pembinaan sebelum mereka dibenarkan menyertai program ini. Penilaian Fasa Pertama adalah di peringkat Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) manakala fasa kedua diuruskan agensi pelaksana terlibat, sebagai contoh JKR, KPLB dan JPS.

Fasa 1: Bersama MOF

Bagi Fasa 1, Jawatankuasa di peringkat MOF akan memastikan kesemua kriteria dipenuhi oleh calon-calon kontraktor Bumiputera.

Difahamkan penilaian yang dilakukan oleh MOF adalah berdasarkan tiga peringkat iaitu:

  • .Peringkat Pertama – syarikat kontraktor mestilah memenuhi syarat mandatori penilaian iaitu bertaraf Bumiputera, berdaftar sebagai kontraktor Gred G7 dengan CIDB dalam bidang yang dikhususkan selain mempunyai penarafan SCORE oleh CIDB sekurang-kurangnya tiga bintang
  • Peringkat Kedua – memastikan syarikat terlibat memiliki keupayaan kewangan seperti mempunyai modal cair minimum yang ditetapkan mengikut nilai projek dan mempunyai kemudahan pembiayaan projek
  • Peringkat Ketiga – memastikan kontraktor mempunyai keupayaan teknikal untuk melaksanakan projek dengan mengambil kira prestasi kerja semasa, pengalaman kerja lepas serta tidak mempunyai rekod projek sakit

Fasa 2: Bersama Agensi Pelaksana


Senarai syarikat kontraktor yang sudah disenarai pendek akan diserahkan kepada agensi pelaksana bagi tujuan pelawaan untuk mengemukakan bidaan projek.

Syarikat-syarikat terlibat kemudiannya akan dipelawa untuk bersaing dalam mengemukakan tawaran terbaik sebelum ianya dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Melulus (PBM) yang menguruskan perolehan Kerajaan.

Jika didapati layak dan menetapi kriteria, syarikat akan dilantik oleh agensi pelaksana.

Lawatan Pantauan Nurul Izzah ke satu projek di bawah insisatif Jana Wibawa | Foto : DID Kedah

Ada dakwaan projek diberi runding terus, selain mesra dengan parti politik terpilih

Namun di sebalik semua penilaian tersebut, beberapa pihak termasuk Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan mendakwa Projek Jana Wibawa diberikan secara tender runding terus dan tender terpilih yang mana ia diberikan kepada kontraktor mesra pada parti tertentu.

Malah dia mendakwa perkara itu adalah ‘rahsia terbuka’ yang sudah diketahui kontraktor Melayu serta Bumiputera termasuk ahli PKMM sendiri.

Apa yang menimbulkan pertikaian persatuan itu apabila ada projek yang diberikan kepada syarikat yang mesra dengan parti tertentu walaupun mereka tiada pengalaman dan kepakaran.

“Kita bukan cemburu dengan mereka yang mendapat projek Jana Wibawa, namun penganugerahan projek perlu adil dari segi pemilihan berdasarkan kemampuan, pengalaman serta profesionalisme, dan bukan siapa yang baik dengan Perdana Menteri (ketika itu) atau menteri (ketika itu) yang menganugerahkan projek.”

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan

Bahkan ada yang mendakwa, senarai Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan menerusi projek Jawa Wibawa ini melibatkan ahli keluarga pemimpin utama parti politik tertentu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan MOF telah mengarahkan penangguhan projek Jana Wibawa agar penelitian semula dapat dilakukan sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.

Dia yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus, lapor Awani.

Sebagai rekod, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin juga antara suspek bagi siasatan dalam Projek Jana Wibawa.

Perkara itu disahkan sumber SPRM kepada media pada Ahad, 19 Februari yang lalu.

Selain itu siasatan juga sedang dijalankan terhadap beberapa individu termasuk bekas Menteri Kewangan.

Namun Muhyiddin yang juga Pengerusi BERSATU mendakwa partinya menjadi mangsa ‘pendakwaan terpilih’ selepas Wan Saiful didakwa Selasa pagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.