“Hanya 0.01% Boleh Dapat” – Che Nom Nafi Majoriti YouTuber Mampu Raih Gaji RM360,000 Sebulan
Menurut Che Nom hanya 0.01% YouTubers yang berjaya meraih pendapatan sebanyak itu bahkan purata pendapatan golongan itu ketika ini di bawah paras kemiskinan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini tular di media sosial satu infografik mengenai 9 profesion yang paling santai namun bergaji tinggi yang diterbitkan sebuah laman mencari kerja.
Penularan poster tersebut yang diterbitkan laman Maukerja ternyata menarik perhatian pengguna media sosial di mana pekerjaan sebagai YouTuber berada di kedudukan pertama apabila didakwa mampu meraih purata RM360,000 sebulan.
Lebih mengejutkan apabila purata gaji YouTuber itu jelas begitu jauh meninggalkan pekerjaan seperti artis dan selebriti yang menerima purata gaji RM100,000 sebulan.
Purata gaji YouTuber di bawah paras kemiskinan – Che Nom
Mungkin tertarik dengan perkongsian itu, YouTuber masakan terkenal, Che Nom tampil menjelaskan keadaan sebenar yang menurutnya tidaklah seperti apa yang digambarkan.
Beliau yang tampil menerusi satu hantaran di Facebook berkata, hanya 0.01% YouTubers yang berjaya meraih pendapatan sebanyak itu bahkan purata pendapatan YouTubers ketika ini di bawah paras kemiskinan.
Bahkan menurut Che Nom atau nama sebenarnya Normah Bakar, kemelut yang melanda turut menjadi punca mengapa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YouTube, Susan Wojcicki meletakkan jawatan.
“Bila ekonomi merosot, syarikat akan kurangkan iklan, Revenue Per Mille (RPM) jatuh, Cost per 1,000 impressions (CPM) jatuh, jadi pendapatan Youtubers secara tak langsung akan berkurang, tahun ni semua jatuh mendadak. CEO YouTube, Susan Wojcicki pening kepala kot sampai letak jawatan.”
Tak cukup rehat, terpaksa kerja Sabtu & Ahad
Tambah Che Nom lagi, jadual kerja yang ketat selain proses pembikinan sesebuah video yang lama juga membuatkan YouTuber tidak cukup waktu berehat sehingga perlu bekerja pada hujung minggu.
“Nak hasilkan satu video perlukan 3-4 hari, research resepi, masak dan shooting, voice over dan editing, final editing, render & upload.
“Semua ni nak kena hire orang, kalau buat sendiri memang tumbang. Semua ini kos. Hidup tiada life, Sabtu & Ahad kalau tak kerja video tak siap, bak kata Syahmi Shazli 24 jam memikirkan content, Mr Beast pon tidur kat opis aja.”
Beliau dalam masa turut berkongsi pendapatan yang diterima dari laman web miliknya yang disifatkan tidak cukup untuk menanggung kos server dan juga domain.
Sehubungan itu dia meminta orang ramai yang bercita-cita untuk menjadi YouTuber agar berfikir terlebih dahulu. Sekiranya kurang minat dan kesungguhan, adalah lebih baik untuk mencari pekerjaan yang lebih menjamin.
“Kalau yang ada cita-cita nak jadi YouTubers tu fikir baik-baik, yang diwar-warkan tu yang berjaya, ramai yang tak berjaya. YouTubers masakan pon ramai yang dah menghilang, peluang nak berjaya tu sangat rendah. Kalau tak ada kesunggunan dan minat yang sangat mendalam up to level obsession, cari la kerjaya lain yang lebih menjamin masa depan, ada medical, KWSP dan kemudahan lain seperti cuti tahunan dan cuti sakit.