fbpx
Now Reading
Keropok Kering Cicak Tokek Haram Dimakan Umat Islam
Cicak tokek haram dimakan umat islam

Keropok Kering Cicak Tokek Haram Dimakan Umat Islam

Menurut Dr Zulkifli, berdasarkan perbincangan agamawan, beliau merasakan cicak adalah haiwan yang haram untuk dimakan seperti yang dilarang oleh para ulama kerana dianggap jijik dan haiwan perosak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Manusia sememangnya gemarkan pembaharuan terutama jika perkara itu di dalam bentuk makanan.

Adakalanya variasi baharu ini bukan sahaja unik tetapi boleh diterima oleh orang ramai asalkan ia selamat, bersih dan halal untuk dimakan oleh umat Islam.

Hukum memakan cicak tokek

Namun baru-baru ini, seorang individu telah bertanya kepada mantan Menteri Agama,Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang hukum memakan cicak tokek selepas melihat satu iklan mengenai keropok kering haiwan tersebut di media sosial.

Perkara itu kemudian dijelaskan oleh beliau menerusi Maktabah al-Bakri yang menyatakan cicak di dalam bahasa Arab disebut sebagai “الوزغة” (Wazaghah) serta dikenali sebagai haiwan yang melata. Malah haiwan ini memiliki badan yang berbintik seperti penyakit kusta dan merupakan haiwan perosak.

Takrifan Wazaghah yang diberikan oleh bahasa Arab ini dilihat lebih kurang seperti tokek yang biasa dikenali pada ketika ini.

Hukum terbahagi kepada 2 pendapat iaitu haram dan halal

Menurut beliau, hukum memakan tokek ini terbahagi ke pada dua pendapat iaitu haram dan halal.

“Pendapat pertama, hukumnya adalah haram. Abu Ishaq al-Syirazi ada menyebutkan bahawa tidak halal untuk memakan hasyarat al-ardh dan salah satu contoh hasyarat yang disebutkan ialah cicak.

“Kemudian Imam al-Nawawi menjelaskan lagi dengan menyatakan bahawa mazhab Syafi’i, Abu Hanifah, Ahmad dan daud berpendapat, haram untuk memakannya. Muhammad al-Amin al-Syanqiti menambah, termasuk juga dalam kalangan mereka yang mengharamkannya ialah Ibn Syihab, ‘Urwah dan ramai lagi,” jelasnya.

Pengharaman itu juga adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

Menurut al-Maraghi perkataan “الْخَبَائِثَ” bermaksud diharamkan kepada mereka dari memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir. Imam al-Syafi’i dan para ashabnya pula menyatakan makna ayat ini ialah apa-apa yang dianggap jijik serta kotor oleh orang Arab.

“Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, al-Majmu’ bahawa para ashab kami )ula dalam kalangan mazhab Syafi’i) menyebutkan apa-apa haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh maka ia adalah haram untuk dimakan kerana Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan) dalam Tanah Haram dan ketika dalam keadaan berihram.”

Bagi pendapat kedua pula memaklumkan ia adalah halal untuk dimakan dan ia merupakan pendapat dari Imam Malik. Muhammad al-Amin al-Syanqiti menambah, Imam Malik mensyaratkan bahawa ular boleh dimakan sekiranya selamat dari sebarang racun mahupun bisanya.

Di antara yang diriwayatkan turut memberi kelonggaran adalah al-Auza’i dan Ibn Abi Laila.

“Walau bagaimanapun, Ibn Qudamah menyatakan dalam kitabnya bahawa Imam Malik, Ibn Abi Laila dan al-Auza’i berpendapat diharuskan untuk memakan kesemua jenis hasyarat kecuali cicak. Malah Ibn ‘Abd al-Bar menyatakan para ulama telah bersepakat akan pengharaman cicak,” jelasnya.

Kesimpulan haram untuk dimakan kerana cicak haiwan perosak

Kata Dr Zulkifli, kesimpulannya berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, beliau berpendapat bahawa cicak termasuk dalam jenis haiwan yang haram untuk dimakan sebagaimana jumhur ulama kerana ia dianggap sebagai haiwan jijik, dan termasuk dalam jenis haiwan perosak yang diperintahkan untuk dibunuh.

Justeru itu, ini merupakan pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat, malah islam menyarankan umatnya untuk makan dari makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

“Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut anda juga boleh melayari laman sesawang Maktabah al-Bakri.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.