Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Sejak semalam (22 Feb) tular di media sosial rakaman dashcam memperlihatkan satu insiden samun di sebuah stesen minyak.
Menerusi video tersebut, kelihatan mangsa tidak menyedari kewujudan suspek yang sudah menunggu di pintu penumpang hadapan sedang menantikannya membuka kunci kenderaan.
Mangsa yang difahamkan baru selesai mengisi minyak kereta kemudian membuka kunci sebelum suspek pantas membuka pintu dan melarikan beg tangannya.
Penularan video tersebut menimbulkan kerisauan di kalangan pengguna media sosial memandangkan ia berlaku di tempat awam dan pada siang hari.
Polis buru dua suspek
Terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sedang menyiasat video tular tersebut dan insiden berlaku di Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 14 saat itu di Facebook.
“Hasil semakan mendapati kejadian samun ini berlaku pada hari ini (22 Feb) kira-kira pukul 9 pagi di mana suspek adalah dua lelaki bangsa tidak pasti.
“Salah seorang suspek telah membawa lari beg tangan mangsa yang diletakkan di tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta milik mangsa.
“Anggaran kerugian adalah sebanyak RM500 dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.