fbpx
Now Reading
Semak 3 Kategori Bankrap Yang Boleh Mohon Pelepasan Segera & Ini Cara Memohon

Semak 3 Kategori Bankrap Yang Boleh Mohon Pelepasan Segera & Ini Cara Memohon

Permohonan pelepasan status muflis melibatkan 3 kategori ini akan bermula dari 1 Mac 2023.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2023 mengumumkan hasrat kerajaan untuk memberikan peluang kedua kepada rakyat yang telah diisytiharkan bankrap.

Bagi mencapai perkara tersebut, kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967  dengan melakukan penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan secara automatik supaya kes muflis dapat dilepaskan pada masa yang singkat.

Jelas beliau, setakat Januari, lebih 260,000 kes muflis telah direkodkan yang turut melibatkan anak-anak muda majoritinya Melayu yang mempunyai potensi menyumbang kepada ekonomi negara.

Baca artikel berkaitan :Kerajaan Pinda Akta Insolvensi, Kes Muflis Kecil Bawah RM50k Akan Dilepaskan Serta-Merta

Sementara menunggu pindaan, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membantu rakyat yang bankrap dengan jumlah hutang berskala kecil dilepaskan daripada kebankrapan bermula 1 Mac 2023.

Terbaharu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan pelepasan status muflis tersebut akan dilaksanakan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) melalui pengeluaran Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi mengikut Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967.

Jelasnya terdapat tiga kategori kes kebankrapan yang akan diberikan pertimbangan oleh ketua pengarah insolvensi untuk pelepasan segera iaitu:

  1. Pengisytiharan kebankrapan yang telah melepasi tempoh lima tahun dari tarikh perintah penerimaan dan perintah penghukuman/perintah kebankrapan.
  2. Individu jumlah hutang yang diperakukan atau baki hutang yang terlibat tidak melebihi RM50,000.
  3. Individu yang tiada perintah mahkamah, prosiding mahkamah dan/atau prosiding penyiasatan dijalankan ke atas bankrap mengikut Akta Insolvensi 1967 yang menghalang pelepasan diberi melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi.

Menurut Azalina, caranya ialah individu dalam tiga kategori berkenaan hanya perlu membuat permohonan pelepasan kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes kebankrapan mereka.

“Bankrap boleh hadir atau menghantar surat atau e-mel kepada cawangan yang terlibat untuk menyemak status kes kebankrapannya. Maklumat lanjut berkenaan permohonan pelepasan ini juga boleh diperolehi di laman web rasmi Jabatan Insolvensi,” katanya.

Cara-cara mohon pelepasan Kebankrapan

Semakan kami di laman MdI mendapati orang ramai juga boleh mengisi borang Permohonan Pelepasan Sijil Ketua Pengarah Insolvensi Di Bawah Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] yang disediakan di laman sesawang mereka.

Borang yang lengkap diisi kemudian dibawa ke cawangan yang menguruskan kes kebankrapan individu terlibat. Selepas itu:

  • Pegawai Insolvensi akan menyemak permohonan bankrap, kedudukan dokumen pentadbiran dan maklumat yang berkaitan dengan pentadbiran kebankrapan; dan
  • Individu bankrap hendaklah memberikan kerjasama dengan memberikan maklumat dan dokumen yang diperlukan oleh Pegawai Insolvensi.

Setakat artikel ini ditulis borang tersebut masih belum terdapat pada laman MdI, namun kami yakin ia akan disediakan bermula esok, 1 Mac.

Untuk maklumat lanjut layari laman MdI di sini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.