fbpx
Now Reading
Remaja Maut, Seorang Lagi Cedera Parah Ketika Lumba Haram Di Klang [Video]

Remaja Maut, Seorang Lagi Cedera Parah Ketika Lumba Haram Di Klang [Video]

Siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku di Persiaran Raja Muda Musa, Klang melibatkan kedua-dua remaja berusia 19 tahun itu berpunca daripada tindakan sekumpulan anak muda yang bersaing sesama sendiri.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang remaja maut manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal ditunggangi terlibat dalam satu kemalangan dipercayai ketika sedang berlumba haram di Klang pada awal pagi Ahad (5 Mac).

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku di Persiaran Raja Muda Musa, Klang melibatkan kedua-dua remaja berusia 19 tahun itu berpunca daripada tindakan sekumpulan anak muda yang bersaing sesama sendiri.

Mereka dipercayai menunggang motosikal secara laju, melulu dan berbahaya dari arah Kompleks Sukan Pandamaran menghala ke Pelabuhan Klang.

Jelasnya, jentera kedua-dua mangsa itu kemudiannya dipercayai bergesel sesama sendiri hingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan masing-masing sebelum terjatuh di atas jalan raya.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 2.30 pagi bagi mendapatkan rawatan lanjut.”

Bagaimanapun, seorang mangsa meninggal dunia pada 6.50 pagi manakala seorang lagi masih dirawat di zon merah kerana mengalami kecederaan parah pada organ jantung, buah pinggang dan paru-paru,” menurutnya dalam kenyataan pada Ahad petang.

Insiden tersebut turut tular di media sosial selepas dikongsikan oleh pengguna Facebook dan Twitter.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Syahirah Kamsani di talian 012-447 0162 atau Balai Polis Trafik Klang Selatan di talian 03-3372 2222 atau mana-mana balai berdekatan untuk membantu siasatan,” katanya lagi.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya masih mengesan kumpulan penunggang motosikal terbabit untuk membantu siasatan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.