fbpx
Now Reading
“Lu Dengan Family Mesti Mati” – Pengarah & Pelakon Mentega Terbang Didakwa Terima Ugutan Bunuh, Kereta Disimbah Asid

“Lu Dengan Family Mesti Mati” – Pengarah & Pelakon Mentega Terbang Didakwa Terima Ugutan Bunuh, Kereta Disimbah Asid

Selain kereta disimbah cat dan asid, terdapat juga nota ugutan bunuh yang tertera tulisan “Lu dengan family mesti mati”.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak beberapa minggu lalu, tular di media sosial mengenai sebuah filem yang dikatakan bertentangan dengan akidah serta turut menyentuh isu sensitiviti umat Islam.

Filem bertajuk Mentega Terbang itu disiarkan di aplikasi VIU pada 19 Januari lalu sebelum dibawa turun selepas mendapat pelbagai kritikan khususnya umat Islam.

Pelbagai pihak turut membuat laporan dan aduan dengan meminta pihak berwajib untuk mengambil tindakan.

Tidak hanya itu, segelintir individu juga mengecam penerbit, pengarah dan barisan pelakon yang membintangi filem tersebut.

Meskipun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mendapat makluman tayangan filem Mentega Terbang telah dihentikan di aplikasi Viu pada 27 Februari lalu, masih ada segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati dengan pelakon dan pengarah filem berkenaan iaitu Khairi Anwar.

Pengarah dan pelakon terima ugutan, kereta disimbah cat dan asid

Hal ini susulan tular gambar dua buah kereta dikatakan milik Khairi dan seorang pelakon Mentega Terbang yang telah disimbah asid dan cat selain mendapat beberapa keping memo berbaur ugutan.

Menerusi perkongsian gambar di Twitter wartawan SCMP, Amer Hadi Azmi, kelihatan kereta jenis Proton Saga berwarna merah dan Toyota Vios berwarna putih dipenuhi kesan simbahan acid dan cat.

Cat dan asid disimbah ke kereta pengarah dan pelakon Mentega Terbang oleh seseorang yang turut tinggalkan nota ugutan bunuh terhadap mereka dan keluarga,” tulisnya di kapsyen.

Lebih menakutkan, terdapat juga nota ugutan bunuh yang tertera tulisan “Lu dengan family mesti mati”.

Menteri Komunikasi & Digital turut kecam tindakan berkenaan

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi & Digital, Fahmi Fadzil turut mengecam perbuatan individu berkenaan.

Jelasnya orang seharusnya mematuhi undang-undang dan tidak membuat apa sahaja keputusan sendiri.

“Saya kecam sekeras-kerasnya ugutan ini serta sebarang tindakan di luar batas undang-undang.

Rakyat Malaysia mesti patuh pada undang-undang, jangan ambil tindakan yang boleh merosakkan harta benda, mengancam nyawa,” kata Fahmi.

Ramai tak setuju dengan tindakan individu terbabit, hanya burukkan imej Islam

Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab itu.

Malah, mereka turut mengatakan tindakan sedemikian hanya akan memburukkan lagi imej agama Islam.

Namun setakat ini tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa mahupun pihak produksi Mentega Terbang. Malah tiada sebarang info siapakah pelaku dan apakah motifnya.

Polis ambil keterangan pelakon dan pengarah Mentega Terbang

Terdahulu, pihak polis mengambil keterangan dari Pengarah filem serta pelakon, Arjun Thanaruja di Bukit Aman pada pagi 10 Mac lalu.

Menurut Khairi, dia bersama Arjun telah memberi kerjasama sepenuhnya dan menjawab setiap soalan yang diajukan oleh polis.

BACA ARTIKEL BERKAITAN:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.