fbpx
Now Reading
Ibu Kesal Anak Dibiarkan Dalam Bilik Tanpa Pengawasan Guru Taska Hingga Cedera Digigit Rakan
Kanak-kanak dibiarkan dalam bilik kosong hingga cedera digigit rakan taska

Ibu Kesal Anak Dibiarkan Dalam Bilik Tanpa Pengawasan Guru Taska Hingga Cedera Digigit Rakan

Menurut El Ameerah, hatinya remuk sebaik sahaja melihat rakaman CCTV di mana anaknya dan kanak-kanak lain dibiarkan di dalam bilik kosong tersebut dari pagi sebaik dihantar ke taska berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebagai ibu bapa yang bekerjaya, sudah tentu taska atau tempat asuhan kanak-kanak menjadi lokasi pilihan buat kita untuk meletakkan anak sebelum keluar bekerja.

Meskipun berat mahu meninggalkan anak-anak, tetapi demi tanggungjawab terhadap pekerjaan mereka cuba untuk melakukannya dan berdoa agar anak-anak berada dalam keadaan yang baik dan selamat.

Ibu kesal anak cedera semasa dihantar di taska

Baru-baru ini, tular satu hantaran di media sosial apabila seorang ibu meluahkan rasa kecewa terhadap insiden yang berlaku kepada anaknya semasa dihantar di sebuah taska.

Menerusi hantaran dimuat naik oleh El Ameerah di Facebook, kejadian itu berlaku pada Januari tahun ini. Bayi perempuan mereka yang pada mulanya kelihatan sangat gembira pada hari pertama semasa dihantar ke taska tersebut mula menangis sebaik melihat bapa dihadapan pintu yang mahu menjemputnya pulang.

Jelasnya sebelum ini semasa di taska lain, si kecil yang bernama Maryam (berusia satu tahun satu bulan) jarang menangis atau kelihatan tertekan malah menyifatkan anaknya itu gembira dan sangat mesra dengan guru-gurunya. Namun, masuka hari kedua di taska baharu suami El Ameerah mendapati terdapat kesan merah di pergelangan tangannya.

Guru dakwa anak digigit oleh rakan ditaska

Mereka merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku semasa si kecil berada di taska. Pada hari ketiga si ibu menerima pesanan ringkas menerusi WhatsApp menunjukkan gambar tangan anaknya dengan kesan lebam dan luka.

Dakwa gurunya, kesan itu disebabkan bayi berkenaan digigit oleh rakan semasa dia keluar mengambil ‘minyak rambut’.

Mereka kemudian lantas ke taska untuk melihat keadaan anak, dan Maryam kelihatan sangat lemah.

“Ummi dan abah terkejut bila tengok rupa-rupanya bukan tangan kiri je ada luka dan lebam. Bawah telinga ada kesan. Dekat pipi pun ada kesan. Belakang tapak tangan ada kesan. Tangan kanan ada kesan gigitan.

“Kesan gigit, kesan cakar, kesan cubit. Ya Allah, kesian sangat tengok Maryam masa tu,” dakwa ibunya.

Ibu terkejut selepas lihat keadaan bilik di dalam taska

Mungkin tidak berpuas hati dan mahukan penjelasan lanjut, El Ameerah meminta guru berkenaan untuk menunjukkan tempat kejadian dan terkejut selepas melihat keadaan bilik yang kosong dan tidak mempunyai sebarang peralatan mahupun toto atau tikar alas.

Bahkan ia jauh dari apa yang pernah dilihat sebelum ini ketika membuat lawatan sebelum memasukkan Maryam ke taska berkenaan.

“Ummi pijak lantai tu rasa sejuk sangat kerana taska itu mempunyai penghawa dingin. Memang sejuk, guru pun pakai selipar. Tapi budak-budak dalam tu baring dan duduk atas lantai sejuk! Ya Allah. Sampainya hati. Dan dalam bilik tu juga ada empat penapis udara dengan wayar atas lantai.

“Satu darinya memang dah tumbang atas lantai. Kalau lah budak-budak tarik wayar, terhempap ke apa ke, Ya Allah. Tak terbayang,” ujarnya.

Letak dalam bilik isolasi sementara tunggu ibu bapa ambil

Apabila ditanya ia bilik apa, guru menjawab itu adalah bilik isolasi dan perkara itu menimbulkan kemarahannya kerana si kecil sememangnya sihat ketika dihantar ke taska. Namun guru terbabit menjelaskan kanak-kanak itu hanya berada sekejap sahaja di dalam bilik berkenaan sementara menunggu ibu bapa mengambil mereka pada waktu petang.

“Bila Ummi tengok CCTV, rupa-rupanya Maryam dan empat kanak-kanak lain memang diletakkan dalam bilik kosong tu sejak pagi. Astaghfirullahalazim. Remuk hati ummi.”

Berdasarkan siasatan polis, guru tinggal kanak-kanak tanpa pengawasan

Menurut siasatan yang dibuat pihak polis, guru terbabit telah meninggalkan kanak-kanak di dalam bilik tersebut tanpa pengawasan beberapa kali dan tiada guru lain yang menggantikannya untuk mengawasi kanak-kanak tersebut.

“Polis maklumkan masa guru tinggalkan budak-budak dalam bilik tu, ada budak lain gigit dan cubit Maryam. Masa ni, Maryam kena serang tiga hingga empat kali.

“Tak lama lepas tu, guru keluar sekali lagi dari bilik isolasi dan tinggalkan budak tanpa pengawasan. Apa yang anda fikir? Habis Maryam kena serang sekali lagi oleh kanak-kanak yang sama. Kali ini sampai enam kali serangan gigit dan cubit,” jelasnya.

Perkara itu membuatkan mereka tertanya-tanya berapa kalikah sebenarnya guru meninggalkan kanak-kanak tersebut tanpa pengawasan sehingga membuatkan anaknya tercedera begitu sekali.

“Paling kecewa, rakaman CCTV antara 11 pagi hingga 3.45 petang tidak diserahkan kepada ummi dan abah. Apa yang berlaku dalam tempoh lebih kurang empat jam ini? Apa yang Maryam lalui, di mana dia tidur, makan, dan layanan guru, hanya Allah sahaja yang tahu.”

Hidung berdarah dan dibawa ke pakar ENT serta psikiatri untuk rawatan lanjut, sudah buat laporan polis

Wanita itu mengatakan pada malam selepas kejadian anaknya itu menangis mungkin kerana sakit atau trauma bahkan pipinya kelihatan merah dan tidak surut. Mereka kemudian mengambil keputusan untuk membuat laporan polis namun sejurus selesai dan sampai di rumah hidung anaknya mengalami pendarahan.

Anaknya kemudian dibawa berjumpa pakar telinga, mulut dan hidung (ENT) untuk pemeriksaan lanjut. Bukan hanya itu, Maryam juga turut dihantar berjumpa pakar psikiatri kanak-kanak kerana mengalami masalah kesukaran untuk tidur dan beberapa kali cuba mengigit abang-abangnya.

“Siasatan polis pun dah selesai. Jadi dah tiba masa ummi dan abah usahakan cara lain untuk lawan demi Maryam. Kami percaya ada banyak kebenaran yang belum tersingkap. Bila ummi dan abah jumpa pelbagai pihak, mereka advise untuk ambil tindakan undang-undang ke atas taska tetapi akan menelan kos yang tinggi.

“Barulah ummi dan abah faham kenapa ramai ibu bapa yang pernah lalui benda sama macam ini, akhirnya senyap dan reda.”

Tetap akan berjuang untuk anak meskipun tak mudah

El Ameerah berkata meskipun sedar perjuangan tersebut tidak mudah dan murah namun mereka akan berusaha untuk mendapatkan pembelaan terhadap apa yang telah berlaku kepada Maryam serta berharap pihak yang zalim mendapat balasan yang setimpal.

“Maryam akan sembuh dari semua Insha-Allah. Tetapi luka di hati ummi dah abah tak akan terubat selamanya. Maafkan ummi dan abah kerana tak dapat bersama Maryam ketika Maryam sangat-sangat perlukan pertolongan.”

“Hanya Allah yang dapat menjaga Maryam, dan Allah lah sebaik-baik penjaga,” tulisnya lagi.

Meskipun diasak beberapa kali mengenai nama dan lokasi taska terbabit, El Ameerah memaklumkan dia hanya akan mendedahkan semua maklumat di mahkamah kelak.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.