Wanita Sebak Bakal Sambut Raya Bersama Ayah Selepas 13 Tahun Si Bapa Dipenjara [Video]
Setelah lima tahun beraya tanpa bapa di penjara manakala ibu sudah meninggal dunia, mereka akhirnya dapat kembali menyambut Syawal bersama ayah tersayang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap kali menjelangnya Syawal, umat Islam pastinya akan menyambut hari kemenangan itu bersama ahli keluarga dan kenalan rapat.
Pun begitu, perasaan pilu dan kekosongan di hati pasti akan menyapa sekiranya saat lebaran disambut tanpa salah seorang ahli keluarga tersayang atau sahabat handai.
Seperti baru-baru ini, tular satu video di media sosial yang memaparkan satu keluarga kecil gembira menyambut ayahnya yang dibebaskan dari Penjara Kajang selepas 13 tahun berada di balik tirai besi.
Adik beradik menanti bapa di luar penjara
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman TikTok akaun @hudaamy92, kelihatan wanita yang dikenali sebaga Huda itu bersama adik beradiknya yang lain sedang menanti bapa mereka di luar kawasan penjara.
Menurut pemilik video yang dikenali sebagai Huda, ibunya sudah lima tahun pergi menghadap Ilahi di saat bapanya masih lagi menjalani hukuman penjara.
Tahun ini dapat raya bersama ayah selepas 5 tahun sambut Syawal tanpa ibu bapa
Susulan itu, raya tahun ini pasti memberikan sedikit kemeriahan dan makna kerana dapat menyambutnya bersama ayah tercinta.
“Tahun ke lima raya tanpa ibu, selama 13 tahun raya tanpa abah akhirnya tahun 2023 raya dengan abah.
“Ibu dah tinggalkan kami 5 tahun, hati abah sedih sebab keluar-keluarga ibu dah takda. Ibu tunggu di syurga.
“Semoga kami sekeluarga bahagia bersama selamanya walaupun tak sempurna tapi ibu masih tetap di hati kami semua,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Difahamkan, bapa mereka sudah dibebaskan pada 2 Disember 2022 namun mereka baru mendapat kekuatan untuk memuat naik video terbabit pada tahun ini sebagai perkongsian.
Ramai sebak dan panjatkan doa buat ahli keluarga terbabit
Memindai ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut berasa sebak melihat video tersebut selain mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan.
Selain itu, segelintir netizen juga memberikan kata-kata semangat kepada lelaki terbabit setelah dibebaskan dari penjara.