Sebuah pesawat Air India yang dalam perjalanan ke Heathrow, London terpaksa berpatah semula ke New Delhi, India selepas seorang penumpangnya bertengkar dengan anak kapal.
Penerbangan AI111 (Air India 111) itu menjadi terganggu pada pagi kelmarin (10 April) disebabkan kelakuan penumpang berkenaan yang tidak dapat dikawal.
Memetik laporan Metro UK, penumpang berkenaan didakwa telah bertindak menarik rambut seorang kru kabin sehingga menyebabkan berlakunya kecederaan fizikal terhadap kakitangan yang lain.
Pesawat patah semula ke lapangan terbang lepas 3 jam berlepas
Pesawat yang berlepas pada jam 6.35 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi itu kemudian membuat pusingan balik semula selepas 3 jam berada di udara.
Penumpang terbabit kemudian diserahkan kepada polis sebaik tiba di lapangan terbang New Delhi itu, lapor The Hindustan Times.
Semasa taklimat di dalam pesawat, mereka telah diberikan beberapa amaran namun masih memilih untuk terus berkelakuan agresif.
Penerbangan terpaksa dijadualkan semula pada waktu petang
Penerbangan itu kemudian telah dijadualkan untuk berlepas semula ke London pada waktu petang.
“Penerbangan Air India AI 111 yang dijadualkan berlepas dari New Delhi- London, Heathrow pada 10 April terpaksa berpatah balik ke Delhi selepas tercetusnya insiden yang tidak dapat dikawal dari seorang penumpang dalam pesawat berkenaan.
“Tidak mengendahkan amaran lisan dan bertulis, penumpang itu masih meneruskan tingkah laku yang tidak terkawal termasuk menyebabkan kecederaan fizikal kepada dua lagi anak kapal lain.
“Juruterbang yang membuat keputusan agar pesawat itu berpatah semula ke Delhi dan penumpang telah diserahkan kepada anggota keselamatan apabila mendarat,” jelas jurucakap Air India.
Katanya lagi, laporan maklumat pertama tentang kejadian itu turut telah dibuat kepada polis dan menyatakan keselamatan serta maruah penumpang adalah penting buat syarikat penerbangan tersebut.
“Kami menyediakan semua sokongan kepada kru kabin yang terjejas. Kami juga turut mengesali kesulitan yang terpaksa dilalui oleh penumpang dan kerana penjadualan semula penerbangan tersebut.”