fbpx
Now Reading
Tragedi Double Six Sabah Air: Tiada Bukti Sabotaj & Letupan, Ini Info Lain Yang Patut Anda Tahu

Tragedi Double Six Sabah Air: Tiada Bukti Sabotaj & Letupan, Ini Info Lain Yang Patut Anda Tahu

Laporan akhir tragedi Double Six tersebut turut menyebut juruterbang cukup layak untuk terbang, namun mungkin sedikit kepenatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Selepas hampir 47 tahun, laporan siasatan akhir nahas pesawat Sabah Air yang telah mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens pada 1976 akhirnya dikelaskan sebagai dokumen terbuka.

Bahkan ia juga boleh diakses di laman web Kementerian Pengangkutan bermula hari ini, 12 April.

Menerusi laporan tersebut, tiada sebarang bukti sabotaj, kebakaran mahupun letupan yang telah ditemui oleh pasukan penyiasat berhubung tragedi yang berlaku pada 6 Jun 1976 itu.

Selain itu tiada bukti yang mengesahkan ada kerosakan sebelum nahas atau enjin pesawat menjadi faktor berlakunya kemalangan.

Sebaliknya pesawat telah hilang kawalan sewaktu juruterbang mahu mendaratkan pesawat.

Walaubagaimanapun, juruterbang mempunyai lesen selain ujian patologi terhadapnya membuktikan beliau cukup layak untuk terbang pada ketika itu.

Bukan itu sahaja, pesawat GAF Nomad N22B dengan nombor pendaftaran 9M-ATZ milik Sabah Air terbabit diselenggara mengikut jadual, selain melakukan penerbangan dengan had berat yang dibenarkan iaitu 8065 lbs berbanding had maksima 8500 lbs.

Pusat graviti pesawat luar dari had buritan pesawat

Namun kedudukan pusat graviti pesawat terbabit didapati luar had buritan iaitu bahagian paling belakang pesawat.

Selain itu siasatan turut mendapati prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu juga secara kasual dan tidak mengikut standard.

Ia juga tiada pelan penerbangan, IFR, difailkan seperti dikehendaki oleh Manual Operasi untuk penerbangan membawa VVIP.

Tambah laporan sama, juruterbang dipercayai berada dalam keadaan tertekan untuk kembali ke Kota Kinabalu dari Labuan selain beliau juga agak kepenatan. Beliau sebelum itu juga ada mengadu mengenai perutnya yang sakit dipercayai kerana makanan yang diambil sehari sebelumnya.

Laporan itu turut menyebut bahawa bahagian kerosakan log teknikal tidak dibersihkan mengikut amalan yang disyorkan.

Tugu Peringatan Double Six Foto: Sabah Tourism

Senarai 11 individu terkorban

Sebagai rekod 11 individu yang terkorban dalam tragedi tersebut iaitu:

  • Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens
  • Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah)
  • Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah
  • Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).
  • Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah)
  • Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah)
  • Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah)
  • Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia)
  • Koperal Said Mohammad (Pengawal Peribadi kepada Ketua Menteri Sabah)
  • Johari Fuad Stephens (anak kepada Ketua Menteri Sabah)
  • Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ) turut terkorban.

Sewaktu insiden tersebut berlaku, Tun Fuad Stephens juga 53 hari mengangkat sumpah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah.

Untuk membaca laporan penuh layari laman Kementerian Pengangkutan di sini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.