Tindakan Guru Dipuji, Sanggup Ulang Alik Redah Hujan Bawa Payung Untuk Ambil Pelajar [Video]
Menurut wanita tersebut, guru yang dikenali sebagai Cikgu Mahendran itu ke hulu hilir mengambil pelajar agar mereka tidak dibasahi hujan ketika hadir ke sekolah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kata orang menjadi seorang guru umpama lilin yang membakar diri sendiri. Ini kerana tugas mereka bukan sekadar mendidik anak bangsa tetapi turut memastikan anak didik berada dalam keadaan baik dan selamat ketika di sekolah.
Malah mereka juga sanggup melakukan apa sahaja asalkan perkara yang dilakukan itu memberi kebaikan kepada pelajar.
Guru sanggup basah untuk sambut pelajar datang sekolah
Samalah seperti apa yang dilakukan oleh seorang guru ini apabila sanggup berulang-alik membawa payung sewaktu hujan lebat demi anak didiknya.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @aziella_azie dipercayai dia pada pagi itu sedang menghantar anak lelakinya ke sekolah.
Namun keadaan cuaca pada pagi itu kurang baik disebabkan hujan dan mungkin menyukarkan para pelajar untuk keluar dari kenderaan menuju ke pagar sekolah kerana boleh menyebabkan mereka kebasahan.
Tidak lama kemudian kelihatan seorang guru lelaki membawa payung dan menjemput anak wanita berkenaan dari dalam kereta dipercayai untuk masuk ke sekolah.
Peluk agar pelajar tak dibasahi hujan
Apa yang lebih menyentuh hati, sebaik sahaja pelajar lelaki tersebut keluar dari kenderaan, dia terus memeluk murid itu dan menuju ke pintu pagar dengan segera agar kanak-kanak itu tidak dibasahi hujan.
“Cikgu ni bagus sungguh berlari-lari kiri kanan ambil pelajar ketika hujan. 6.30 pagi dia dah ada dekat pagar kecil tu,” kata Aziella.
Di ruangan komen, ibu kepada pelajar itu turut memaklumkan guru yang dikenali sebagai Mahendran itu juga turut kelihatan basah dek kerana ke hulu hilir membawa payung untuk mengambil pelajar lain.
Video berdurasi selama 15 saat itu turut mendapat perhatian ramai yang memuji tindakan guru tersebut serta menyifatkan dia seorang guru yang penyayang.