fbpx

Scammer Jaja Nama Pendakwah Terkenal Indonesia, Tawar Duit Raya Dari Alam Ghaib Sehingga RM500,000

Lebih parah lagi, apabila kalimah Allah SWT turut digunakan berulang kali termasuk mendakwa wang diberikan adalah rezeki daripada Allah SWT dan asbab untuk ke syurga.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Di zaman ini, pelbagai taktik penipuan yang digunakan oleh individu atau mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meraih pendapatan yang lumayan.

Lebih menyedihkan, mangsa yang ditipu oleh golongan scammer ini adalah orang-orang tua atau individu yang terdesak memerlukan wang dalam kadar segera.

Guna nama pendakwah terkenal untuk tipu orang dengan pakej duit raya dari alam ghaib

Terkini, nama pendakwah terkenal Indonesia, Abdullah Gymnastiar pula sanggup digunakan oleh scammer di Telegram untuk menipu orang ramai dengan menawarkan pemberian ‘duit raya’ dari alam ghaib.

Itu adalah taktik penipuan terbaharu didalangi scammer yang dikesan menggunakan elemen agama dan dakwah untuk ‘memancing’ mangsa dalam kalangan pengguna Telegram di Malaysia.

Pulangan wang sehingga RM500,000

Lebih memukau mata orang ramai apabila sindiket ini juga menjanjikan pulangan wang yang begitu tinggi sehingga RM500,000 mengikut pakej yang diambil.

Menurut Harian Metro, aktiviti penipuan itu mula dikesan sejak minggu lalu apabila ramai pemilik telefon pintar menerima notifikasi mesej atau pautan kumpulan Telegram milik scammer terbabit secara mendadak.

Wartawan Harian Metro yang menyamar sebagai individu yang tertarik dengan pakej yang ditawarkan itu kemudian telah menghubungi sindiket terbabit untuk mengetahui taktik yang digunakan mereka.

Berikut adalah skrip perbualan di antara wartawan dan scammer terbabit:

Wartawan: Benarkah ini pendakwah terkenal Indonesia, Abdullah Gymnastiar?

Scammer: Benar anak. Saya adalah pendakwah itu.

Wartawan: Salam kiyai Aa Gym, adakah benar tawaran wang ini?

Scammer: Benar!. Ini bagi membantu umat Islam yang memerlukan. Wang ini untuk mereka yang kesempitan terutama sepanjang Aidilfitri ini.

Wartawan: Dari mana wang ini diperolehi kiyai?

Scammer: Wang ini diperolehi melalui ritual ugama. Saya ambil dari alam ghaib untuk dihadiahkan. Ia wang halal.

Wartawan: Berapa tempoh lama wang ini boleh diperolehi?

Scammer: Ritual alam ghaib akan diadakan setiap hari. Maka wang dari alam ghaib ini akan diberikan setiap hari selepas pengeras diberikan.

Wartawan: Apa syarat-syarat perlu dipenuhi?

Scammer: Jika anak mahu memohon wang ini, pilih pakej disediakan dan isi borang segera.

Perlu mengisi borang dan memilih pakej yang diinginkan

Scammer terbabit kemudian segera menghantar borang khas yang perlu diisi melalui Telegram mengandungi butiran nama, alamat lengkap, nombor akaun bank dan jumlah wang diperlukan.

Mahu RM500,000 bayar RM7,5000 sebagai pengeras

Berdasarkan maklumat yang diberikan, scammer terbabit menunjukkan beberapa pakej bermula dari pulangan duit yang kecil sehinggalah yang berjumlah besar.

Bagi mendapat pulangan wang sebanyak RM35,000, individu yang berminat perlu membayar wang pengeras sebanyak RM300.

Manakala untuk mendapatkan pulangan wang RM500,000, pengeras yang perlu diberikan adalah berjumlah RM7,500.

Kongsi gambar kononnya alam ghaib untuk yakinkan lagi mangsa

Untuk menyakinkan lagi mangsa, scammer akan berkongsi gambar alam ghaib di mana wang itu diperolehi untuk menimbulkan rasa keterujaan ramai.

Tidak hanya itu, scammer yang tidak bertanggungjawab itu juga menggunakan elemen dakwah seperti kata-kata nasihat, soal keberkatan hidup serta tazkirah pendek sempena Syawal.

Lebih parah lagi, apabila kalimah Allah SWT turut digunakan berulang kali termasuk mendakwa wang diberikan adalah rezeki daripada Allah SWT dan asbab untuk ke syurga.

Bukan itu sahaja, beberapa individu dipercayai ahli sindiket turut meninggalkan testimoni seolah-olah mereka adalah pelanggan yang sudah berjaya menerima wang yang dijanjikan tersebut.

Sindiket guna nama berunsur Islam

Tidak hanya menyamar menggunakan ‘watak’ tokoh agama. Malah sindiket penipuan di Telegram ini turut menggunakan pelbagai nama samaran antaranya Atok Abdul Salman, Imam Annas, Tuan Guru Yusof, Saidina Ali dan pelbagai nama berunsur Islam.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, amaran sudah diberikan mengenai penipuan melalui laman Telegram ini bagaimanapun masih ramai yang terjebak.

“Sebelum ini Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sudah mengingatkan orang ramai mengenai peningkatan mendadak penipuan pelaburan dipromosikan dalam Telegram.

“Kebiasaannya sindiket akan menawarkan pulangan keuntungan tidak realistik sehingga 1,000% dalam masa 24 jam kepada mangsa,” katanya.

Menurutnya, selain menawarkan pulangan wang ‘alam ghaib’, sindiket sebelum ini aktif menawarkan peluang skim pelaburan yang tidak wujud.

“Mereka ini kebiasaannya menawarkan pulangan yang tidak realistik sehingga 1,000% dalam masa 24 jam atau beberapa jam.

“Sindiket menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan dan mereka juga menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, laman sesawang dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram tersebut,” katanya lagi.

Mangsa penipuan terdiri daripada golongan yang tamak dan mudah ditipu

Menurutnya lagi, mangsa kebiasaannya adalah golongan tamak dan terlalu teruja dengan testimoni tipu yang dihantar sindiket membabitkan video dan gambar wang kononnya hasil keuntungan yang diperolehi.

“Malah testimoni palsu ini diselitkan dengan dakwaan semua urusan patuh syariah.

“Pelabur yang berminat akan diminta menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dalam pelbagai pakej ditawarkan dengan mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu atau pemindahan wang,” ujarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.