fbpx
Now Reading
KKM Cadang Pelajar Sekolah Kembali Pakai Pelitup Muka

KKM Cadang Pelajar Sekolah Kembali Pakai Pelitup Muka

Cadangan mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah oleh KKM ini selepas timbul kebimbangan mengenai peningkatan semula kes Covid-19.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan agar pemakaian pelitup muka kembali dilaksanakan di semua sekolah selepas timbul kebimbangan mengenai peningkatan semula kes COVID-19 dan penularan varian baharu dikenali sebagai Arcturus.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, dia akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sebelum pembukaan semula sekolah pada 2 Mei ini.

Jelasnya sebagai langkah berjaga-jaga, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu membabitkan para pelajar akan dikeluarkan sebelum sekolah dibuka semula.

“Saya akan bertemu Fadhlina minggu ini juga untuk membincangkan garis panduan mengapa kita perlu mengawal penularan COVID-19 di sekolah, terutama selepas adanya varian baharu Arcturus.

“SOP berhubung kawalan COVID-19 itu akan dikeluarkan sebelum pelajar kembali ke sekolah pada 2 Mei ini sebagai langkah berjaga-jaga.

“Ini penting kerana kita bimbang jika ada murid terkena jangkitan selepas bergerak ke sana sini sepanjang cuti raya yang mungkin menyebabkan COVID-19 kembali menular di sekolah,” katanya dipetik Berita Harian.

Keputusan di tangan KPM

Namun menurut Fadhlina lagi, langkah pengawalan COVID-19 di sekolah selepas cuti perayaan ini masih lagi sekadar cadangan dari KKM kerana kata putus bergantung kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Ibu bapa tidak perlu panik dengan penularan varian baharu ini, tetapi kita tetap galakkan semua pihak, termasuk pelajar terus memakai pelitup muka bagi mengekang penularannya.

“Jika mengalami gejala jangkitan, mereka bukan sahaja perlu memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan, tetapi perlu melakukan pemeriksaan kesihatan dengan doktor,” katanya.

Setakat ini sebanyak 12 kes varian Arcturus telah dikesan di mana enam daripadanya dikesan di Lembah Klang ( 4 Selangor, 2 Kuala Lumpur) dan enam dikesan di Sarawak.

Namun individu yang dijangkiti Arcturus didapati hanya mengalami gejala ringan dan dilaporkan stabil.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.