
“Mula Dengan Motosikal Cabuk”- Berkat Usaha Keras, Peniaga Kini Berjaya Miliki Vellfire Hasil Berniaga [Video]
Menurut wanita itu, kerana kesempitan hidup dia mula berniaga pada tahun 2016 dengan menggunakan wang yang dikumpulnya sedikit demi sedikit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap orang yang mengalami kesusahan pasti mempunyai cara dan jalan untuk mendapatkan kesenangan sekiranya terus berusaha.
Malah ada yang menggunakan kesusahan atau kesempitan hidup itu sebagai pembakar semangat mereka untuk mencorak kejayaan di masa hadapan.
Wanita cerita detik susah sebelum berjaya menjadi usahawan
Perkara ini samalah seperti seorang peniaga wanita ini apabila menceritakan detik kesusahannya sebelum bergelar seorang usahawan hebat.
Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, Mardhiah Cosmetic katanya dahulu dia dan suami bukanlah sesiapa malah kehidupan mereka seperti ‘kais pagi makan pagi’ dan adakalanya terpaksa mengikat perut kerana kehabisan wang.
Berbekalkan sebuah motor ‘cabuk’, kenderaan roda tiga inilah yang menjadi pengangkutan pasangan ini ke mana sahaja bersama lima cahaya mata mereka. .
Mula berniaga pada tahun 2016 hasil kumpul duit sikit demi sikit
Dia kemudian memulakan peniagaaan pada tahun 2016 dengan menjadi ejen atau dropship,. Difahamkan modal untuk melakukan perniagaan tersebut dikumpul secara sedikit demi sedikit sebelum membeli stok dan menjualnya kepada pelanggan.
“Prinsip saya mulai tahun itu (2016) hanya satu, sampai bila nak macam ni? Tak ada siapa boleh ubah hidup kita melainkan diri kita sendiri.
“Alhamdulillah dari puluh-puluh pesanan bertukar ratusan pesanan sehari. Stok disimpan dekat rumah je. Buat jualan atas talian.”
Berjaya beli kereta pertama iaitu Perodua Myvi
Pada tahun 2018, pasangan ini berjaya membeli kereta pertama mereka iaitu Perodua Myvi berwarna merah dan sangat gembira walaupun kelima-lima orang anak terpaksa berhimpit di belakang.
Akhirnya pada tahun 2021, mereka berjaya membuka sebuah kedai kosmetik sendiri hasil dari duit tabungan.
Namun apa yang menarik peniaga ini bukan hanya berjaya membuka kedai malah dapat menyiapkan rumah yang cantik bersebelahan premisnya tanpa sebarang hutang di atas tanah sendiri.
“2022, berjaya beli kereta kedua kami. Ford Ranger senang sikit nak angkut ambil stok banyak-banyak dekat supplier (pengedar). Sangat-sangat membantu kerja kami.”
Lepas buat rumah, pasangan beli kereta idaman untuk keselesaan keluarga
Usaha mereka dalam perniagaan tidak berhenti di situ malah masih teruk mengukir kejayaan apabila berjaya membeli sebuah lagi kenderaan iaitu Toyota Vellfire berwarna putih pada tahun ini untuk keselesaan keluarga.
“Semoga keluarga kecil kami sentiasa dilimpahkan rezeki dan diberkati Allah SWT,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, video tersebut telah dimuat naik oleh Mardhiah sekitar bulan Mac yang lalu namun ia menjadi sohor di Twitter baru-baru ini.
Melihat di ruangan balas, ramai yang mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut dan menjadikan mereka sebagai inspirasi untuk berjaya.
“Suka tengok orang berjaya”

“Alhamdulillah semoga murah rezeki dan dipermudahkan segala urusan selalu”

“Dari sini kita dapat lihat, ‘bukan senang nak senang’. Rezeki tak salah alamat, doa, usaha dan tawakal”
