fbpx
Now Reading
Dakwa Difitnah, Tun M Saman Anwar Ibrahim RM150 Juta, Ini Tuntutan Yang Dikemukakan

Dakwa Difitnah, Tun M Saman Anwar Ibrahim RM150 Juta, Ini Tuntutan Yang Dikemukakan

Dakwa Tun M, kenyataan yang dilakukan Anwar atas kapasitinya sebagai perdana menteri boleh memberi kesan lebih buruk terhadapnya jika dibandingkan dengan kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan saman libel (fitnah) berjumlah RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) berhubung dakwaan bahawa beliau mengumpul kekayaan peribadi ketika memegang tampuk pemerintahan negara.

Menurut Tun M, kenyataan Anwar yang dikeluarkan di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Pelaksanaan Sebuah Idealisme” pada Mac lalu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

Memetik FMT, saman itu yang difailkan Rabu lalu oleh peguam Tun M, Rafique Rashid Ali bersama perakuan segera supaya ia didengar dan diselesaikan segera merangkumi tuntutan ganti rugi am (General Damages) sebanyak RM50 juta dan teladan (Exemplary Damages) sebanyak RM100 juta.

Dakwa Tun M, kenyataan yang dilakukan Anwar atas kapasitinya sebagai perdana menteri boleh memberi kesan lebih buruk terhadapnya jika dibandingkan dengan kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa.

Ini kerana dakwaan itu telah menjatuhkan imejnya sebagai negarawan dan bekas perdana menteri.

9 tuntutan Tun M terhadap Anwar Ibrahim

Difahamkan terdapat sembilan tuntutan yang dikemukakan oleh Tun M berdasarkan writ saman, lapor Awani.

Berikut kami kongsikan kesemua sembilan tuntutan yang dikemukan oleh beliau terhadap PMX:

  1. Ganti Rugi Am (“General Damages”) disebabkan penghinaan terhadap plaintif daripada kenyataan-kenyataan fitnah defendan tersebut berjumlah RM50 juta.
  2. Sejumlah Ganti Rugi Teladan (“Exemplary Damages”) disebabkan penghinaan terhadap plaintif daripada kenyataan-kenyataan fitnah defendan tersebut sejumlah RM100 juta.
  3. Perintah bahawa defendan dengan serta-merta menarik balik kesemua dan setiap satu kenyataan-kenyataan defendan tersebut.
  4. Perintah bahawa defendan menyebabkan kesemua perkongsian kenyataan- kenyataan tersebut di semua platform media sosial dan/atau media elektronik cetak yang telah tertular tersebut dipadam dengan serta-merta, yang mana telah dikongsi oleh pengguna-pengguna lain di atas kesalahan defendan sendiri.
  5. Perintah bahawa defendan hendaklah membuat permohonan maaf secara bertulis kepada anak guam kami tanpa syarat dan secara terbuka termasuk dengan aku janji bahawa defendan tidak akan sama sekali membuat apa-apa kenyataan dan/atau kenyataan lanjut yang menyentuh berkenaan reputasi dan integriti plaintif, dan permohonan maaf dan aku janji tersebut hendaklah tertakluk kepada kepuasan dan/atau dipersetujui oleh defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah dikeluarkan oleh mahkamah.
  6. Perintah bahawa defendan mengadakan satu sidang media khas sempena permohonan maaf dan aku janji kepada plaintif tersebut dan menyatakan serta memberi aku janji seperti mana yang dinyatakan di perenggan (iv) di atas dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah dikeluarkan oleh mahkamah.
  7. Faedah ke atas ganti rugi di atas pada kadar lima peratus setahun dari tarikh writ saman ini difailkan sehingga penyelesaian penuh terhadap defendan.
  8. Kos tindakan ini ditanggung oleh defendan.
  9. Relif-relif lanjutan yang difikirkan suai manfaat oleh mahkamah.

Menurut laporan FMT lagi, Rafique mengesahkan kertas kausa itu sudah diserahkan kepada peguam Anwar, Thomas Philip, pada hari sama ia difailkan dan pengurusan kes itu sudah ditetapkan pada 31 Mei ini.

Sebagai info, Anwar sewaktu memberi ucapan di Kongres PKR pada 18 Mac lalu, mendakwa seorang bekas bosnya telah membolot harta rakyat.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama, ramai yakin ianya ditujukan kepada Tun M memandangkan beliau ada menyebut tempoh individu berkenaan menerajui kerajaan.

“Ada orang sekarang selepas 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham.

“Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang hilang kuasa, bicara soal rakyat,” kata Anwar.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.