Tahniah! Hafizah Al-Quran Raih Markah ACCA Kedua Tertinggi Di Dunia
Safwa binti Zamri menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize dengan mendapat keputusan cemerlang 98%.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang pelajar wanita berjaya mengharumkan nama negara apabila meraih keputusan yang sangat cemerlang bagi peperiksaan Persatuan Akuantan Bertauliah Berkanun (ACCA).
“Usaha tidak mengkhianati hasil,” begitulah kata-kata yang dapat dijelaskan apabila pelajar tersebut yang dikenali sebagai Safwa Zambri, 19, tekad dan usaha bersungguh-sungguh dalam peperiksaan terbabit walaupun dia sebelum ini mengambil cabang pengajian yang berbeza.
Hafizah 30 juzuk al-Quran dan juga penuntut di UITM Dungun
Tidak hanya itu, Safwa yang juga penuntut di Universiti Teknologi Mara (UITM) Dungun, Terengganu itu juga seorang hafizah 30 juzuk al-Quran.
Difahamkan, Safwa meraih markah tertinggi dalam kertas peperiksaan Recording Financial Transactions (FA1) bagi sesi Mac 2023 sekaligus melayakkan beliau meraih markah tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi dunia dalam peperiksaan terbabit.
Anak bongsu dari lima beradik itu menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize dengan mendapat keputusan cemerlang 98%.
Sambung belajar dalam perakaunan kerana minat subjek matematik
Pelajar semester kedua (program Asasi) Fakulti Perakaunan itu berkata dia melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan kerana minat terhadap subjek matematik.
“Saya lebih cenderung untuk memilih jurusan perakaunan berbanding jurusan lain kerana minat saya terhadap subjek matematik.
“Adik beradik lain juga menyarankan supaya ambil bidang ini kerana dalam keluarga tiada lagi yang ambil bidang perakaunan sebab yang lain ambil perubatan dan kejuruteraan,” katanya dipetik dari Sinar Harian.
Hanya ambil masa 6 bulan untuk pelajari subjek terbabit
Jelas Safwa lagi, dia tidak menyangka akan meraih keputusan cemerlang itu memandangkan subjek terbabit yang dipelajarinya dalam tempoh enam bulan sahaja.
“Saya sebenarnya rasa sukar juga ketika mula-mula belajar bidang perakaunan. Namun saya tidak mengalah dan terus membuat ulang kaji, latihan dan sering bertanya.
“Saya juga membuat rujukan dengan mereka yang telah mengambil bidang itu,” katanya lagi.
Raih 12A dalam SPM 2021
Untuk info, Safwa seorang bekas pelajar SM Imtiaz Besut mengambil SUUA, gabungan KBT dan kitab turath untuk murid tahfiz terpilih. Safwa juga berjaya dapat 12A dalam SPM 2021 dengan jurusan sains tulen dan agama.
Kami dari BuzzKini juga ingin mengucapkan tahniah kepada adik Safwa, semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat buat generasi muda yang lain.