“Jangan Gelar Penyondol, Dia Sahabat Saya” – Tular Isteri Bantu Suami Kahwini Rakan Sendiri [Video]
Menurut wanita tersebut, madunya itu bukanlah orang asing lagi kerana mereka berdua sememangnya rakan baik yang sudah lama mengenali antara satu sama lain.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Isteri mana yang sanggup melihat suami yang disayangi selama ini membina mahligai baharu bersama wanita lain?
Namun, perkara tersebut tidak mustahil dan boleh dikatakan satu dalam sejuta untuk mendapat seorang isteri yang betul-betul ikhlas merelakan suaminya berkahwin baharu.
Isteri bantu suami merisik dan melamar rakan sendiri
Begitulah kisah seorang wanita yang dikenali sebagai Paveena Shaeleen Saimin, 30, apabila dia sendiri yang membantu suaminya, Muhammad Syafiie Jamaluddin, 33, untuk merisik serta melamar rakan baiknya (BFF).
Bagaimanapun, perkara tersebut menimbulkan sedikit salah faham di kalangan orang ramai apabila madunya, Nurul Nazirah Abdul Hamid, 28, digelar sebagai ‘penyondol’.
“Ramai salah faham dengan menggelarkan madu saya ‘penyondol’. Hakikatnya dia rakan saya dan saya yang bantu suami merisik serta melamarnya,” katanya yang dihubungi Harian Metro.
Mula dapat perhatian ramai menerusi video di laman TikTok
Menurut Ibu kepada tiga orang anak itu, kisahnya mula mendapat perhatian ramai selepas tular di laman TikTok satu video dia bersama cahaya matanya hadir ke majlis perkahwinan suami.
Kata Paveena Shaeleen, madunya itu bukanlah orang asing lagi kerana mereka berdua sememangnya rakan baik yang sudah lama mengenali antara satu sama lain.
“Kami memang berkawan rapat dan mula kenal di Facebook (FB). Boleh dikatakan, hubungan kami macam belangkas sampai malah dia pernah bercuti dengan anak saya sekali. Bagaimanapun, dia tak rapat dengan suami pun, setakat kenal macam itu saja.
“Pada satu hari, dia (Nurul Nazihah) tanya ada kerja kosong atau tidak dan kebetulan ada, maka saya ambil dia bekerja sekali untuk kami bersama buat siaran langsung di TikTok,” katanya lagi.
Bermula daripada situ, Paveena Shaeleen sering mengusik dan menjodohkan suaminya dengan Nurul Nazirah.
Usaha Paveena Shaeleen membuahkan hasil
Menurutnya lagi, suami dan Nurul Nazirah pada awalnya hanya tersenyum dan tidak memberi sebarang reaksi, namun usahanya untuk menjodohkan mereka membuahkan hasil apabila kedua-duanya bersetuju untuk disatukan.
“Selepas beri suami ‘lampu hijau’ untuk berkahwin lagi, dia ada juga bawa jumpa beberapa calon.
“Bagaimanapun, semuanya saya tidak berkenan kerana lebih tertarik dengan Nurul Nazirah selepas melihat layanannya terhadap anak dan cara cakap dengan emak ayah saya serta suami.
“Daripada situ, kami berbincang dan selepas semua setuju, saya jadi wakil rombongan merisik dan melamar hingga mereka kini sah sebagai suami isteri,” ujarnya.
Difahamkan, suaminya dan Nurul Nazirah disatukan dalam majlis akad nikah pada Jumaat (5 Mei) disusuli persandingan di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu (6 Mei).