Sempat Minum Di Gerai Berhampiran, Tukang Kebun Ditemui Mati Terbaring Atas Kerusi Di Bawah Pokok
Menurut Ketua Polis Kuala Muda, hasil pemeriksaan yang dijalankan di tempat kejadian tidak menemui sebarang kecederaan pada badan mangsa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Siapa sangka, seorang lelaki yang dilihat berbaring di atas kerusi dan di bawah pokok seolah sedang berehat rupanya sudah tidak bernyawa lagi.
Lelaki berkenaan yang seorang tukang kebun ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas kerusi bersebelahan sebatang pokok besar di hadapan sebuah restoran di Jalan Gamelan, Sungai Petani Kedah pada malam tadi (11 Mei).
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan KKM
Mangsa yang dikenali sebagai Shahudin Marzuki berumur 57 tahun disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membuat pemeriksaan ke atasnya.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam pada pukul 11.20 malam yang memaklumkan seorang lelaki dilihat tidak bergerak ketika berbaring di atas kerusi itu dalam tempoh lama.
“Mangsa dikatakan baru selesai minum di sebuah kedai makan berdekatan sebelum menunggang motosikal miliknya untuk berehat di kawasan berkenaan.
“Bagaimana pun orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu hairan selepas melihat mangsa tidak bergerak dan dalam masa sama telefon bimbitnya asyik berdering sebelum bertindak menghubungi pihak kita kemudiannya,” katanya.
Bapa sering keluar petang dan balik sebelum pukul 10 malam, kata anak Allahyarham
Kata Zaidy, temubual bersama anak Allahyarham mendapati mangsa sering keluar pada waktu petang sama ada untuk minum atau membeli barangan dapur dan akan pulang ke rumah sebelum pukul 10.00 malam pada setiap hari.
“Malam tadi anak mangsa dan ibunya risau apabila mangsa masih tidak pulang ke rumah seperti biasa dan menghubungi telefon bimbitnya namun tidak berjawab.
“Sekitar pukul 11 malam tadi, anak lelaki mangsa menghubungi lagi bapanya tetapi terkejut apabila dijawab oleh orang awam yang memaklumkan bapanya telah meninggal dunia sebelum bergegas ke lokasi untuk membuat pengecaman,” katanya lagi.
Tiada kecederaan ditemui pada badan mangsa
Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak polis di tempat kejadian tidak menemui sebarang kecederaan pada badan mangsa selain dokumen pengenalan diri turut berada bersamanya.
“Mayat mangsa dihantar untuk saringan Covid-19 dan bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim, di sini malam tadi.
“Semakan rekod perubatan juga mendapati mangsa sering mendapatkan rawatan penyakit darah tinggi, kencing manis dan stroke di HSAH sejak 2011 dan kes dikelasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujar Zaidy.