Buat Julung Kali, Imej Penuh Kapal Titanic Didedahkan Dalam Bentuk 3D [Video]
Gambaran bersaiz penuh di seluruh sudut kapal Titanic itu telah dihasilkan dengan menggunakan imbasan pemetaan lautan dalam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kisah tragedi kapal Titanic yang karam di tengah lautan hingga meragut ribuan nyawa beberapa puluh tahun yang lalu cukup diketahui di serata dunia.
Selain dijadikan novel, insiden tragik itu turut difilemkan pada tahun 1997.
Imbasan digital bersaiz penuh bangkai kapal Titanic didedahkan secara 3D
Terbaharu BBC melaporkan gambaran lengkap bangkai kapal tersebut akhirnya didedahkan kepada umum dalam bentuk 3D.
Gambaran bersaiz penuh di seluruh sudut kapal itu telah dicipta dengan menggunakan imbasan pemetaan lautan dalam.
Ia memberikan imbasan di dalam bentuk 3D di seluruh bahagian kapal menyebabkan ia mampu dilihat seolah-olah berada di atas daratan.
Imbasan mennyeluruh Titanic secara 3D beri harapan baharu kisah sebenar yang terjadi
Imbasan 3D dengan saiz penuh ini didedahkan untuk memberi harapan baharu bagi merungkai perkara sebenarnya berlaku pada kapal itu yang tenggelam pada 111 tahun yang dulu.
Menurut seorang penganalisis Titanic, Parks Stepheson, masih ada beberapa soalan asas yang perlu dirungkai mengenai tragedi kapal itu.
Malah dia turut akui terpegun ketika pertama kali melihat gambaran penuh bangkai kapal tersebut secara 3D.
Menurutnya lagi, imbasan menyeluruh kapal tersebut memberi pandangan baru tentang apa yang berlaku kepada Titanic pada hari kejadian.
Jelas Parks, dengan mengkaji bahagian belakang kapal, ia boleh mendedahkan kepada para pengkaji bagaimana kapal Titanic itu melanggar dasar laut.
Dalam pada itu, Parks yang telah mengkaji kapal Titanic selama bertahun-tahun itu berkata model 3D berkenaan adalah langkah utama untuk membawa kepada penceritaan sebenar kisah Titanic berdasarkan penyelidikan berdasarkan bukti dan bukannya spekulasi semata.
Kapal Titanic telah ditemui sejak 1985 tapi gambaran tidak menyeluruh
Bangkai kapal Titanic telah ditemui sejak tahun 1985 lagi, namun disebabkan kapal tersebut terlalu besar, gajet seperti kamera yang bersaiz kecil hanya mampu merakam dan mengambil gambar di beberapa kawasan sahaja.
Oleh itu, kapal tersebut tidak pernah ditunjuk secara keseluruhan kepada umum.
Difahamkan, projek imbasan kapal ini dilakukan pada musim panas tahun lalu oleh Megallan LTD iaitu sebuah syarikat pemetaan laut dalam.
Manakala, Atlantic Production pula bertanggungjawab bagi menyediakan dokumentari mengenai projek tersebut.
Titanic karam pada 1912, lebih 1,500 orang terkorban
Terdahulu, pada tahun 1912 kapal Titanic yang membawa 2,240 penumpang termasuk anak kapal itu memulakan pelayaran sulungnya dari Southampton, England menuju ke New York, Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, kapal tersebut terlanggar bongkah ais menyebabkan ia karam dan tenggelam pada kedalaman 3,800m di lautan Atlantik.
Tragedi itu menyebabkan lebih dari 1,500 orang terkorban.