Hamil Anak Luar Nikah, Wanita Di Indonesia Bunuh Bayi Baru Lahir Guna Seluar Dalam
Hasil siasatan mendapati bayi berkenaan meninggal dunia kerana sesak nafas dan rahang bahagian bawah muka patah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang wanita di Jawa Timur Indonesia didakwa membunuh anaknya yang baru sahaja dilahirkan.
Difahamkan, wanita yang berusia 23 tahun itu dipercayai menggunakan seluar dalam bagi menekup muka bayi berkenaan sehingga maut.
Sembunyi Kehamilan Dari Keluarga
Menurut Portal Kompas, anak yang dilahirkan itu merupakan anak luar nikah hasil daripada hubungan dengan kekasihnya yang kini dipercayai bekerja di Taiwan.
Wanita yang dikenali sebagai ‘AY’ dikatakan menyembunyikan kehamilannya daripada pengetahuan keluarga.
Malah, semasa tempoh kehamilan, dia menjalankan aktiviti harian seperti biasa dengan harapan agar kandungannya gugur.
Malangnya, bayi yang dikandung itu membesar dengan baik sehingga usia kandungan mencecah sembilan bulan.
Bunuh Bayi Kerana Panik
Wanita itu dikatakan selamat melahirkan bayi berkenaan pada 23 April yang lalu di rumahnya ketika ahli keluarganya sedang menziarah rumah saudara mara.
Namun dia terkejut sebaik mendengar tangisan bayi yang baru dilahirkan itu.
Dek terlalu panik dan takut, wanita itu menekup muka bayinya menggunakan seluar dalam sehingga bayi itu meninggal dunia.
Pada awalnya, dia memaklumkan bahawa bayi itu meninggal kerana seluar dalamnya terlilit dengan bayi secara tidak sengaja semasa proses melahirkan bayi terbabit.
Namun, polis mendapati kenyataan wanita itu adalah bercanggah dengan hasil siasatan.
“Ada percanggahan pengakuannya dengan fakta yang kami dapatkan,” kata Ketua Polis Tulungagung, Agung Kurnia Putra.
Hasil siasatan mendapati bayi berkenaan mati kerana sesak nafas dan rahang bahagian bawah muka bayi patah kesan daripada tindakan wanita terbabit.
Pengsan Kerana Pendarahan Yang Banyak
AY dikatakan pengsan kerana mengalami pendarahan yang banyak kesan daripada proses melahirkan.
Wanita terbabit kemudiannya memohon bantuan rakan untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Dia memaklumkan kepada pihak hospital bahawa dia baru sahaja melahirkan anak. Pihak hospital turut meminta dia membawa bayinya ke hospital.
Walau bagaimanapun, pihak hospital meragui kesan yang dilihat kepada mayat bayi terbabit lalu mereka bertindak merakam video sebagai bukti dan melaporkannya kepada polis.
Baca Artikel Berkaitan: Ibu Tekup Bayi Dengan Bantal, Dakwa Alami Masalah Rumah Tangga
Baca Artikel Berkaitan: Bayi 18 Bulan Maut Kelaparan Gara-Gara Si Ibu Terlalu Obses Dengan Diet Vegetarian