Jumpa Ulat Dalam Botol Kicap, Lelaki Cirit-Birit & Sakit Perut Selepas Makan Sushi
Lelaki itu hanya menyedari kewujudan ulat dalam botol kicap sushi berkenaan setelah menikmati hidangan tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebagai pelanggan, selain daripada rasa makanan, antara kriteria utama yang perlu dinilai dalam memilih kedai makan adalah dari aspek kebersihan.
Pentingnya aspek kebersihan ini sehinggakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan Garis Panduan Kebersihan Untuk Restoran Dan Kedai Makan pada tahun 2001 untuk dipatuhi oleh peniaga kedai makan.
Namun, tidak kira kedai makan di tepi jalan atau di pusat membeli-belah, masih terdapat sesetengah peniaga yang tidak menitik beratkan aspek ini dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
Jumpa Ulat Dalam Kicap Sushi
Baru-baru ini, kecoh di Facebook apabila seorang lelaki mendakwa mengalami cirit-birit dan sakit perut selama dua hari setelah makan di sebuah kedai sushi di Sabah.
Menerusi perkongsiannya di Facebook Azrul Razak, lelaki ini menjelaskan simptom yang dialami adalah kesan daripada penemuan ulat dalam botol kicap sushi.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 20 Mei, dia yang juga seorang pakar perubatan hanya menyedari kewujudan ulat dalam botol kicap sushi berkenaan setelah menikmati hidangan tersebut.
“Kita nak cerita pasal satu benda yang memang buat kau fikir dua tiga kali sebelum pergi makan sushi. Kita nak kongsi pasal maggot..ya maggot kau dengar betul, maggot dalam kicap sushi!”
“Kau duduk dekat restoran sushi pilihan kau, teruja nak makan sushi yang kau suka, tapi lepas kau makan, kau ternampak satu benda bergerak dekat sudut mata kau,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tiada Maaf Dari Penyelia Restoran, Keracunan Makanan Selama Dua Hari
Menyedari akan hal itu, dia membuat aduan kepada penyelia restoran berkenaan. Namun, aduannya tidak diendahkan oleh penyelia restoran terbabit. Penyelia restoran hanya mengambil botol kicap tersebut lalu membuangnya.
Tidak puas hati dengan respon yang diberikan, lelaki berkenaan meminta untuk berjumpa dengan pengurus restoran. Namun, dikatakan pengurus restoran itu tidak berada di tempat kejadian.
Malah, tiada permohonan maaf yang diterima dari penyelia restoran terbabit.
Bengang dengan respon yang diterima, lelaki yang bekerja sebagai doktor itu nekad untuk menunjukkan kad pekerja kesihatan dan mengugut untuk melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKN Sabah) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Takut dengan ugutan itu, penyelia restoran sekali lagi bertindak menghubungi pengurus restoran, namun lelaki berkenaan mengambil keputusan untuk meninggalkan nombor telefon dengan harapan pengurus restoran menghubunginya semula.
Apa yang ditakuti oleh lelaki berkenaan akhirnya terjadi apabila malam selepas kejadian itu, dia mula mengalami cirit-birit dan sakit perut sehingga perlu ke tandas berulang-kali.
SOP Restoran, Cuci Botol Kicap Dua Kali Seminggu
Keesokan harinya, wakil restoran tersebut dipercayai telah menghubungi lelaki terbabit untuk memohon maaf. Wakil restoran itu juga memohon lelaki berkenaan untuk berkongsi video sekiranya ada kerana tiada bukti ulat ditemui dalam botol kicap sushi di restoran tersebut.
Menurut wakil restoran berkenaan, Prosedur Operasi Standard (SOP) restoran adalah mencuci botol kicap dua kali seminggu.
“Baru tahu, berdasarkan SOP restoran, botol kicap itu dicuci dan ditukar dua kali seminggu je,” katanya.
Pada akhir perkongsiannya, lelaki tersebut dikatakan telah membuat aduan rasmi kepada Inspektor Kesihatan dan kes sedang dalam siasatan.
Dia juga menyarankan agar pelanggan restoran tersebut yang mengalami pengalaman yang sama membuat aduan ke Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Sekiranya peniaga atau individu didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 34, Akta Makanan 1983 yang membawa denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Kami sudah menghubungi restoran sushi berkenaan dan masih menanti maklumbalas mereka berhubung dakwaan tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Dr Malar Kongsi 4 Cara ‘Defrost’ Bahan Mentah Agar Tidak Berlaku Keracunan Makanan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Punca Keracunan Makanan, Papan Pemotong Bercalar 200 Kali Lebih Kotor Dari Tandas