fbpx
Now Reading
AirTag Jadi Penyelamat, Beg Sofyank Hilang Di Singapura Sudah Dijumpai Di Filipina

AirTag Jadi Penyelamat, Beg Sofyank Hilang Di Singapura Sudah Dijumpai Di Filipina

AirTag merupakan satu alat yang digunakan untuk mengesan koordinasi sesuatu barangan yang hilang.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Teknologi yang semakin canggih kini telah banyak memudahkan kehidupan masyarakat di dunia.

Dengan adanya teknologi cangih ia dapat menyelesaikan banyak masalah sebagai contoh mengesan barangan yang hilang antaranya peranti AirTag keluaran Apple.

Apa itu AirTag

AirTag merupakan satu alat yang digunakan untuk mengesan koordinasi sesuatu barangan yang hilang.

Oleh itu, orang ramai yang membeli alat ini akan meletakkannya pada barangan peribadi seperti beg, kunci dan sebagainya.

Ada juga yang memakaikan AirTag ini kepada haiwan peliharaan seperti kucing agar mereka mudah dikesan sekiranya hilang.

AirTag ini boleh dibeli secara atas talian atau mana-mana vendor yang menjual barangan Apple dengan harga RM139 sahaja.

Foto: Laman sesawang Apple

Baca artikel berkaitan: Canggih! Kucing Hilang Berjaya Ditemui Di Tengah Lebuhraya Menggunakan AirTag

Sofyank kongsi AirTag bantu kesan beg galas yang hilang di Singapura

Malah kecanggihan alat pengesan seperti Apple AirTag terbukti apabila artis VFX terkenal, Sofyank berjaya mengesan beg galasnya di Filipina selepas hilang di Singapura.

Menerusi ciapan di Twitter, Sofyank memaklumkan seseorang secara tidak sengaja telah mengambil beg galas itu dari sebuah pesawat yang dinaikinya dari Malaysia ke Singapura pada 25 Mei yang lalu.

Bimbang dengan keberadaan beg tersebut kerana ia mempunyai barang peribadi serta projek video yang penting, Sofyank kemudian memuat naik ciapan tersebut agar orang ramai dapat membantunya mengesan barangan berkenaan.

“Di dalam beg galas itu, ada wallet saya, laptop dan juga hard disk yang mengandungi projek video yang belum disiarkan.

“Beg itu kali terakhir dilihat berada di Lapangan Terbang Changi, Singapura. Jika ada sesiapa yang menerima notifikasi berhubung kehilangan AirTag untuk wallet saya, harap dapat membantu saya mengesan beg tersebut,” ciapnya.

Turut kongsi lokasi beg galas agar orang ramai dapat bantu mencari

Sofyank dalam masa sama turut berkongsi gambar beg dan lakaran peta kali terakhir beg itu dikesan dan memaklumkan dia telah ke bahagian pencarian barang untuk membuat laporan berhubung kehilangan tersebut.

“Saya tahu tuan kepada beg galas yang kelihatan sama seperti milik saya berada di dalam pesawat yang sama. Oleh itu, saya percaya individu yang tersilap mengambil barangan saya adalah orang yang sama.”

AirTag berjaya kesan lokasi beg di Filipina

Dalam satu lagi ciapan Sofyank memaklumkan bahawa lokasi AirTag tersebut kali terakhir dikesan pada jam 6 pagi dan dapat merasakan individu berkenaan kini berada di pesawat lain untuk ke destinasi seterusnya.

Malah turut merasakan peluang untuk mendapatkan semula beg itu semakin tipis.

“Saya akan cuba mengesan lokasi secara langsung sebaik sahaja beg galas dan AirTag itu mendapat liputan daripada peranti IOS (Apple) yang berdekatan. Saya rasa peluang untuk mendapatkan semula beg itu semakin tipis,” ujarnya.

Namun dia tidak berputus asa apabila memaklumkan beg itu kemudian di kesan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Clark, Filipina dan akan terus memeriksa pergerakan beg berkenaan.

Akhirnya beg dijumpai dengan bantuan pihak lapangan terbang Filipina

Dalam debaran orang ramai menunggu kemaskini terbaharu dari Sofyank mengenai beg galasnya itu. Influencer itu akhirnya berjaya mendapatkan semula beg tersebut dengan kerjasama yang diberikan oleh pihak lapangan terbang negara berkenaan.

“Akhirnya, saya berjaya menghubunginya! Saya sangat bersyukur kepada Lapangan Antarabangsa Clark, Filipina di atas kerjasama yang diberikan. Mereka menghubungi saya dan berjaya mengesan keberadaan beg tersebut.

“Sejuta terima kasih saya ucapkan kepada semua yang membantu menyebarkan mengenai perkara ini dan terima kasih kepada mereka yang cuba menghubungi rakan-rakan untuk membantu saya.

“Saya sangat menghargainya, sekarang saya boleh sambung menyunting video!”

Melihat di ruangan balas, ramai yang bersyukur kerana akhirnya dia dapat menemui semula beg yang hilang itu meskipun ia sudah berada jauh hingga ke Filipina.

Ramai yang turut memuji teknologi dan keupayaan AirTag sehingga Sofyank berjaya menjumpai beg dan barangan berharga didalamnya.

“Apple banyak membantu orang ramai dengan teknologinya”

“Aku takut yang ambil tu dia jadi Sofyank 2 je nanti”

“Gila lah tak sangka langsung akan dapat balik. Benda ni dah keluar ke tiga negara kot”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.