Pengemis Jalanan Di Filipina Dah Semakin Maju, Guna Imbasan Kod QR Minta Sedekah
Ibu bapa kanak-kanak yang terlibat dengan kegiatan meminta sedekah di Filipina boleh dikenakan denda atau penjara tidak kurang daripada dua tahun sekiranya didapati bersalah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Baru-baru ini, tular di Filipina gambar seorang kanak-kanak yang dipercayai peminta sedekah menunjukkan imbasan kod QR sewaktu meminta derma.
Menurut seorang saksi, kanak-kanak tersebut bertindak mengeluarkan imbasan kod QR yang ditampal pada sekeping kad sebaik dimaklumkan tiada syiling untuk diberi.
“Kami ketawa pada mulanya, jadi kami menyemak sama ada imbasan kod QR itu berfungsi, dan ia terbukti wujud, dinamakan atas organisasi tertentu,” katanya.
Wujud Sindiket Di Sebalik Kegiatan Mengemis Di Jalanan
Ekoran daripada kejadian ini, Suruhanjaya Anti Kemiskinan Kebangsaan Filipina (NAPC), memberi amaran kepada orang awam agar tidak terpedaya dengan sindiket yang menggunakan kanak-kanak sebagai pengemis.
Menurut Naib Pengerusi NAPC, Reynaldo Tamayo, terdapat sindiket di sebalik aktiviti meminta derma khususnya yang melibatkan kanak-kanak mengemis di jalanan.
“Ada sindiket di sebalik kegiatan ini. Sindiket mengangkut pengemis ini dalam van, menempatkan mereka di jalanan, dan mengumpulkan mereka pada waktu malam,” katanya.
Tambah beliau lagi, sekiranya ibu bapa kanak-kanak didapati terlibat dalam kegiatan ini, mereka boleh dikenakan denda atau penjara tidak kurang daripada dua tahun sekiranya didapati bersalah.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Filipina menunjukkan 18.1% daripada 110 juta penduduk Filipina hidup di bawah paras garis kemiskinan.
Aktiviti mengemis ini dikatakan meningkat pada musim perayaan terutamanya menjelang Hari Krismas di mana kebanyakan pengemis akan berada di jalanan dan mereka kebiasaannya akan mengetuk tingkap kereta bagi meminta derma.
Rata-rata netizen memberikan komen yang negatif dan menyifatkan tindakan pengemis itu sebagai tindakan yang keterlaluan.
Malah, ada di antara netizen meminta supaya orang ramai tidak mempedulikan dan memberi duit kepada golongan ini ketika mereka meminta sedekah.