Kartun atau filem animasi merupakan antara hiburan yang paling digemari oleh kanak-kanak, bagaimanapun tidak dinafikan ia juga mampu memberi kesan buruk kepada pemikiran mereka sekiranya tidak dipantau.
Hal ini kerana diusia yang begitu muda, mereka lebih cenderung untuk mengikuti apa yang dilihat di dalam kartun walaupun ada yang dipersembahkan hanyalah imaginasi dan tidak masuk akal.
Begitulah yang dilakukan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Hunan, China apabila dia bertindak terjun dari rumahnya yang berada di tingkat 26 dengan memegang payung selepas ingin meniru aksi yang dilihatnya dalam kartun.
Berpantang maut sebelum ajal, kanak-kanak itu bagaimanapun selamat selepas terjatuh dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital.
Kanak-kanak itu tidak diawasi
Menurut mothership yang memetik Weibo, kejadian yang menggemparkan ramai itu berlaku pada petang Jumaat lalu (26 Mei) di bandar Hunan, China.
Mengikut sumber yang memberitahu Weibo, ibu kanak-kanak terbabit bekerja di bandar lain manakala bapanya pula kerap bekerja di luar negara.
Kanak-kanak itu dijaga oleh neneknya, namun semasa kejadian warga emas terbabit tiada di rumah kerana ke luar mengambil adik perempuannya.
Terinspirasi oleh kartun ‘Tom and Jerry’
Menerusi laporan Oriental Daily pula, semasa kejadian kanak-kanak itu sedang menonton kartun ‘Tom and Jerry’ dan membayangkan bahawa dia akan mendarat dengan selamat ke tanah jika dia memegang payung seperti payung terjun.
Pun begitu, berat badan kanak-kanak itu yang ringan selain dia juga jatuh di atas sebuah pokok besar menyebabkan impak hentaman yang dialami berkurangan.
Susulan itu, kanak-kanak terbabit dilaporkan mengalami kecederaan patah lengan kanan dan beberapa bahagian lain. Bagaimanapun dia kini berada dalam keadaan stabil.