Kereta Penuh Tapak Tangan Misteri, Lelaki Sesat Di Hutan Hingga Lewat Malam Gara-gara Waze
Lebih menyeramkan, pelbagai masalah yang dihadapi olehnya semasa memandu di dalam hutan selain ternampak beberapa benda pelik tetapi cuba untuk tidak berfikir apa-apa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tiidak dapat dinafikan kemajuan teknologi pada hari ini banyak membantu manusia dalam melakukan tugasan dan aktiviti harian dengan lebih mudah.
Contohnya, jika dahulu pemandu terpaksa menggunakan peta atau bertanya kepada penduduk setempat jika ingin ke sesuatu kawasan yang tidak diketahui, namun kini adanya aplikasi Waze dan Google Maps yang dapat menunjukkan arah perjalanan ke destinasi di tuju dengan mudah.
Waze bawa ke jalan tengah hutan, gelap dan sunyi
Pun begitu, terdapat juga cerita yang kurang enak didengar telah dikongsikan oleh seorang pemandu ini apabila Waze yang digunakan telah membawa dirinya ke suatu kawasan hutan yang gelap dan sunyi.
Menerusi hantaran carousel di akaun TikTok @airilhafiz1922, lelaki yang dikenali sebagai Airil Hafiz itu menceritakan bahawa dia harus ke sebuah lokasi penggambaran yang terletak di Jenjarom, Selangor pada lewat malam kerana perll menjalani penggambaran keesokan paginya.
Difahamkan, pihak produksi telah memberinya alamat ke sebuah rumah inap yang disediakan untuk dia berehat.
“Saya bergerak dari Sungai Buloh ke Jenjarom pada pukul 10.30 malam dengan menggunakan Waze yang telah dikongsikan oleh Production Manager kepada saya.
“Setelah tiba di kawasan Jenjarom, Waze telah menunjukan arah jalan masuk ke hutan dan ladang kelapa sawit. Saya hanya ikut tanpa fikir apa-apa walaupun jalan ke hutan itu gelap.
“Saya masuk agak dalam sebab Waze bawa saya betul-betul ke tengah hutan. Masa itu jalan tar dah jadi jalan tanah, bersemak dan berlopak,” katanya.
Kawasan yang dibawa Waze tiada sebarang rumah, terpaksa berpatah balik
Bagaimanapun, setelah tiba di lokasi yang dikongsikan oleh pihak produksi, Airil mula menyedari bahawa kawasan tersebut tidak mempunyai sebarang rumah apatah lagi ‘homestay’.
Dia kemudiannya menjadi cemas sebelum mengambil keputusan untuk berpatah balik keluar daripada kawasan tersebut dalam keadaan peranti mudah alihnya tidak mendapat isyarat (no signal).
Terus tersesat dalam hutan hingga ke tebing sungai
Malangnya, dia terus tersesat di dalam hutan pada sekitar jam 12 malam selain jalan yang ditunjuk Waze membawa dirinya ke tebing sebuah sungai.
Lebih menyeramkan, pelbagai masalah yang dihadapi olehnya semasa memandu di dalam hutan selain ternampak beberapa benda pelik tetapi cuba untuk tidak berfikir apa-apa.
Akhirnya, Airil memberhentikan kenderaannya kerana khuatir semakin tersesat jauh dan keadaan petrol yang semakin sikit.
“Semasa dalam keadaan rehat seketika, mulut saya tidak berhenti berselawat dan membaca surah-surah yang saya ingat.
“Kemudian dalam keadaan gelap gelita, saya ternampak sejalur cahaya yang kecil dan agak jauh melintasi pada pandangan mata saya,” katanya lagi.
Menuju ke arah cahaya yang dilihat sebelum berjaya keluar dari hutan
Berkongsi lanjut, Airil kemudiannya terus memandu menuju ke arah cahaya yang dilihatnya itu dengan harapan akan menemui jalan keluar.
Nasib menyebelahi dirinya apabila cahaya tersebut akhirnya membawa dia keluar daripada hutan tersebut.
Tidak menunggu lama, Airil terus menghubungi pihak produksi untuk mengambilnya dan membawanya ke homestay yang sepatutnya dituju.
Saya minta bantuan production manager untuk mengambil saya di tempat saya terhenti. Lalu mereka datang dan mengambil saya untuk dibawa ke homestay. Akhirnya saya pulang ke homestay dan tidur.
Airil Hafiz
Terkejut, kereta penuh lumpur dan kesan tapak tangan
Pada keesokan pagi, Airil mendapati keretanya berada dalam keadaan penuh lumpur, namun apa yang mengejutkan terdapat beberapa kesan tapak tangan di badan kenderaan itu.
Jelas Airil, dia berharap agar perkongsian mengenai kisah yang terjadi pada dirinya itu boleh dijadikan pengajaran buat semua pengguna jalan raya terutamanya yang sering menggunakan aplikasi navigasi Waze atau Google Maps.
Netizen seram sejuk baca kisah perkongsian Airil
Memindai ruangan komen, perkongsian tersebut turut menyebabkan rata-rata pengguna media sosial berasa seram.
Selain itu, segelintir netizen juga memberi nasihat untuk mematikan fungsi membenarkan “unpave road” yang ada di bahagian “setting and navigation”.