Seorang wanita warganegara Amerika dibunuh dengan kejam oleh pemilik sebuah pusat pemulihan di bandar Ciudad Juarez, Mexico.
Mangsa Alami Detik Hitam Pada Malam Pertama Di Pusat Pemulihan
Mangsa, Celia Yaneth Castañeda yang berusia 35 tahun dan berasal dari Kansas, Amerika Syarikat mula dimasukkan ke pusat pemulihan itu pada 17 Mei oleh saudara-maranya.
Ia bertujuan untuk merawat ketagihan alkohol dan dadah yang dialami wanita ini selama 10 tahun.
Namun, mangsa telah berdepan episod kejam pada malam pertama dia dimasukkan ke pusat pemulihan tersebut.
Kejadian bermula apabila mangsa menyerang dua orang pemilik pusat pemulihan yang dikenali sebagai Diana Paola dan Claudia Rubi.
Suspek kemudiannya bertindak memberi serangan balas dengan memukul mangsa sehingga mati.
Bahagian Badan Mangsa Dipotong, Kemaluan dan Usus Dicairkan
Menurut laporan polis yang dibaca di mahkamah, kedua-dua orang suspek bertindak menyembunyikan kematian dengan memotong anggota badan mangsa menjadi beberapa bahagian kecil.
Polis turut menemui beberapa bekas plastik yang mengandungi daging dan tulang manusia di dalam tab mandi serta beg plastik yang dipenuhi dengan tulang di pusat pemulihan berkenaan.
Malah, sebuah pengisar yang penuh dengan daging manusia juga turut ditemui di dapur. Ketua penyiasat mendakwa pembunuh cuba mencairkan kemaluan dan usus mangsa bagi menghapuskan bukti.
Semasa sesi perbicaraan, hakim memaklumkan terdapat beberapa perkara lagi yang mengerikan daripada kes ini.
Namun, beliau memilih untuk tidak mendedahkannya demi menjaga maruah mangsa.
Suspek kini ditahan dan perbicaraan kes akan disambung semula. Sekiranya didapati bersalah, mereka bakal berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup kerana melakukan pembunuhan kejam itu.
Baca Artikel Berkaitan: Kerana Azimat, Lelaki Sanggup Bunuh Dan Jual Anggota Badan Saudara Albino
Baca Artikel Berkaitan: Mayat Dikerat 6 Ditemukan Dalam Bagasi Di Tepi Lebuhraya Utara-Selatan