Tak Dapat Hadir Ambil Result SPM Kerana Jaga Ibu Sakit, Pelajar Sebak Guru Datang Bawa Keputusan 11A [Video]
Syahril yang berjaya memiliki keputusan 11A di dalam SPM turut menafikan ibunya menghidap sakit kanser tahap empat seperti yang tular di media sosial.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sudah menjadi impian setiap pelajar untuk berjaya dalam pelajaran demi masa depan yang lebih baik.
Meskipun ada segelintir yang terpaksa menempuh pelbagai cabaran namun ia tidak pernah melunturkan semangat mereka.
Pelajar berjaya miliki keputusan SPM 11A walau perlu jaga ibu sakit
Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan seorang pelajar lelaki daripada Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang, Kelantan yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam SPM walau perlu menjaga ibu yang sedang sakit.
Lebih menyentuh hati, dia yang tidak dapat hadir ke sekolah untuk melihat keputusannya demi menjaga ibu sakit kemudiannya dikejutkan dengan kedatangan para guru yang memaklumkan kejayaan beliau.
Menerusi video tersebut, kelihatan beberapa orang guru telah berkunjung ke rumah pelajar yang dikenali sebagai Muhammad Syahril Saidi untuk memberikan keputusan SPM selepas dia tidak dapat hadir kerana perlu menjaga ibu, Tuan Faridah Tuan Ismail yang sedang sakit angin ahmar.
Dalam video berkenaan, kelihatan pelajar itu sebak dan mengalirkan air matanya ketika melihat guru membawa keputusan tersebut kepadanya.
Minta orang ramai hormati ibu yang sedang uzur
Susulan penularan video tersebut, pelajar itu kemudian meminta orang ramai untuk menghormati ibu yang sedang sakit.
Ini kerana sejak video itu menjadi sohor mereka sering kali menerima kunjungan dari orang ramai sehingga ia mengganggu kesihatan ibu.
Kata pelajar lelaki itu dia menghargai keprihatinan yang diberikan oleh orang ramai namun dalam masa sama meminta agar mereka memahami bahawa ibunya sedang sakit.
Malah dia juga perlu menjaga aurat ibunya disebabkan keadaan orang ramai yang menangkap gambar serta video.
“Umi sakit angin ahmar sejak 2019, namun empat hari sebelum SPM, keadaan dia agak lemah, jadi saya tak sampai hati nak tinggalkan dia sendirian termasuk nak pergi ambil keputusan SPM,” ujarnya kepada Berita Harian.
Nafi ibu hidapi kanser tahap empat
Dia yang ditemui di kediamannya turut menafikan bahawa ibunya menghidap sakit kanser tahap empat seperti yang tular di media sosial.
Berbicara tentang keputusan yang diperolehi dia memaklumkan bahawa dirinya tidak sangka mendapat A untuk semua mata pelajaran.
Jelasnya selain menjaga adab dengan guru apabila berada di dalam kelas dia sering memberikan fokus 100%.
“Bila balik sekolah saya akan uruskan umi pula bersama kakak. Namun saya tak anggap susah kerana bila kita utamakan ibu, makin mudah urusan hidup kita,” jelas Syahril.
Sedang lanjutkan pelajaran peringkat STAM sebelum sambung Ijazah
Menurut anak bongsu daripada enam adik beradik itu ketika ini dia sedang melanjutkan pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Maahad Yaakubiah di Bachok, Kelantan.
Selain itu turut memaklumkan bahawa ibu masih boleh bercakap dan mengukirkan senyuman sebaik sahaja mengetahui keputusan yang diperolehinya.
“Walaupun jaga ibu sakit, tapi saya masih boleh keluar ke sekolah kerana ibu turut dijaga abang dan kakak yang lain.”
Untuk makluman, Syahril telah kehilangan bapanya sejak dia berusia tujuh tahun dan perancangan ketika ini adalah ingin menyambung pelajaran di peringkat Ijazah selepas STAM.