Polis Saman Peserta Konvoi ‘Supercar’ Yang Tular Halang Lalu Lintas Pengguna Lebuhraya ELITE [Video]
Ketua Polis Selangor turut menasihati semua pengguna jalan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Di Malaysia, melakukan aktiviti seperti konvoi bermotosikal atau kereta secara beramai-ramai bukanlah menjadi suatu kesalahan, malah aktiviti itu juga dapat mengeratkan lagi hubungan di antara ahli komuniti terbabit tanpa mengira bangsa dan agama.
Bagaimanapun, jika konvoi yang dilakukan itu mendatangkan kesusahan kepada pengguna jalan raya yang lain seperti menghalang lalu lintas dan sebagainya, ia pasti menjadi suatu kesalahan jalan raya dan boleh dikenakan tindakan.
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial video yang memaparkan satu kumpulan konvoi kereta mewah jenis ‘supercar’ yang telah bertindak menghalang laluan di sebuah lebuh raya.
Polis saman peserta konvoi supercar halang lalu lintas di lebuhraya ELITE
Susulan itu, pihak polis telah mengeluarkan saman kepada peserta konvoi itu dalam kejadian yang berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, video berdurasi 49 saat yang dimuat naik di media sosial itu memaparkan beberapa buah kereta ‘supercar’ dipandu secara konvoi dan menyebabkan halangan lalu lintas pada Ahad lalu (2 Julai).
“Kita telah memanggil pemilik akaun (media sosial) untuk siasatan dan seterusnya mengeluarkan saman atas kesalahan halangan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan semalam (4 Julai).
Semua pengguna jalan dinasihati patuh kepada peraturan lalu lintas
Jelasnya lagi, semua pengguna jalan raya turut dinasihati agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak berlaku sebarang kemalangan, kesesakan, mahupun kesusahan kepada pemandu lain yang tidak sepatutnya berlaku.
“Sebarang ketidakpatuhan tindakan boleh diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan,” katanya lagi.
Tular di media sosial video konvoi supercar halang semua lorong di lebuh raya
Terdahulu, tular di media sosial video sekumpulan kereta mewah jenis ‘supercar’ yang bergerak secara konvoi telah menggunakan kesemua lorong di lebuh raya berkenaan.
Tindakan peserta konvoi tersebut menyebabkan pengguna lebuh raya lain terhalang dan terpaksa berada di belakang mereka.