Ini 5 Kerja Rumah Yang Ibu Hamil Perlu Elakkan, Nampak ‘Simple’ Tapi Memudaratkan!
Antara kerja rumah yang wanita hamil tidak digalakkan untuk buat adalah menyapu dan mengemop rumah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Wanita sememangnya sinonim dengan kerja rumah. Meskipun berada pada fasa kehamilan, kebanyakan wanita tetap meneruskan dan melakukan kerja rumah seperti biasa.
Namun, tahukah anda, wanita yang hamil mempunyai tubuh badan yang amat sensitif berbanding wanita biasa. Ini kerana proses pembentukan bayi memerlukan ibu mengandung untuk lebih berhati-hati terutama dalam melakukan aktiviti harian.
Mungkin nampak biasa bagi anda, tetapi ada beberapa kerja rumah yang biasa dilakukan tidak boleh dilakukan oleh wanita yang sedang mengandung. Ini kerana aktiviti itu boleh memberikan kesan kepada pembentukan dan pembangunan bayi serta kepada ibu.
Jom kami kongsikan senarai lima kerja rumah yang tidak boleh dilakukan oleh wanita hamil.
#1 Cuci Tandas
Cuci tandas merupakan kerja rumah utama yang perlu dielakkan oleh wanita hamil. Ini kerana, semasa mencuci tandas, penggunaan bahan kimia seperti klorin dan sabun ketika mencuci tandas adalah tinggi bagi menghilangkan kotoran yang ada.
Pendedahan kepada bahan kimia ini boleh menganggu pertumbuhan perkembangan bayi dalam perut terutama semasa trimester pertama.
Oleh itu, ibu hamil disarankan untuk mendapatkan bantuan daripada orang lain bagi melakukan kerja rumah ini. Namun sekiranya tiada pilihan, anda boleh memilih pencuci yang selamat atau menggunakan bahan semulajadi.
#2 Menyapu dan Mengemop Lantai
Menyapu dan mengemop lantai merupakan perkara yang biasa dilakukan oleh wanita. Malah, setiap hari kita pasti akan menyapu rumah bagi menghilangkan kotoran yang ada.
Namun, tahukah anda, aktiviti menyapu dan mencuci lantai tidak sesuai dilakukan oleh wanita yang sedang mengandung.
Ini kerana selain daripada terdedah dengan bahan pencuci yang tidak sesuai dengan wanita hamil terutama ketika mengemop lantai, aktiviti ini boleh memberi kesan kepada bahagian belakang badan dan urat pelipat lutut anda.
Jadi, ibu hamil, elakkan daripada melakukan kerja rumah yang ini ya!
#3 Mengalihkan Perabot atau Mengangkat Objek Yang Berat
Ibu yang sedang mengandung tidak boleh mengalihkan perabot atau mengangkat objek yang berat. Ini kerana anda berisiko untuk mengalami ketegangan otot, sakit dan juga kecederaan.
Keadaan ini terjadi kerana semasa fasa kehamilan, tisu dan ligamen perantara melonggar. Malah, dengan berat badan anda, ia boleh membuatkan anda hilang keseimbangan dan meningkatkan peluang kecederaan.
Menolak perabot di atas lantai juga tidak boleh dilakukan kerana boleh menyebabkan ketegangan. Oleh itu, dapatkan bantuan daripada keluarga terutama suami bagi melakukan tugasan ini.
#4 Mencuci Sangkar Haiwan Peliharaan
Ibu hamil yang membersihkan sangkar haiwan peliharaan khususnya kucing berisiko dijangkiti Toksoplasmosis. Penyakit ini yang berpunca daripada najis haiwan boleh memberi kesan kepada bayi dalam kandungan khususnya buat ibu yang berada pada trimester ketiga.
Malah, najis haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing juga mengandungi kuman atau parasit yang juga memberi kesan kepada wanita hamil.
Oleh itu, elakkan daripada mencuci sangkar haiwan peliharaan anda, namun sekiranya tidak boleh dielakkan, anda dinasihatkan untuk menggunakan sarung tangan.
#5 Mengecat Perabot Atau Rumah
Ada setengah wanita yang gemar menghias rumah dan mencipta suasana baharu kediaman dengan cara mengecat rumah atau perabot.
Buat wanita yang sedang hamil, anda tidak digalakkan untuk mengecat perabot atau rumah. Ini kerana anda boleh terdedah kepada pelarut daripada perabot lama, polyurethane atau cat yang boleh meningkatkan risiko untuk mengalami keguguran.
Malah, jika ibu hamil terdedah dengan bahan kimia juga, ia boleh menganggu pertumbuhan bayi sehingga menyebabkan bayi yang dilahirkan cacat kelahiran atau mengalami masalah pembelajaran.
Oleh itu, buat wanita-wanita yang sedang hamil, cuba elakkan diri anda daripada melakukan kerja rumah ini. Ia bukan bertujuan untuk manjakan diri, tapi bagi memastikan anda dan anak yang bakal dilahirkan berada dalam keadaan selamat.
Buat suami, ringankan tulang untuk bantu isteri tersayang!
Baca Artikel Berkaitan: Ini 10 Mitos Kehamilan Yang Ibu Mengandung Tak Patut Percaya
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Hamil Lebih Berisiko? Ketahui Apa itu Carpal Tunnel Syndrome & Faktornya